Mara larang pelajar tajaannya sertai himpunan gerakan Islam di AS

Mara larang pelajar tajaannya sertai himpunan gerakan Islam di AS

Menurut pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran Mara, larangan tersebut dibuat kerana bimbang himpunan itu berkait rapat dengan kumpulan militan IS sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

muktamar
PETALING JAYA:
Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengharamkan pelajar tajaanya di Amerika Syarikat (AS) menyertai perhimpunan gerakan Islam termasuklah Muktamar Indonesian Muslim Society in America (Imsa) and Malaysian Islamic Student Group (MISG) 2016.

Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran Mara, Abdul Aziz Hasan berkata larangan tersebut dibuat kerana bimbang ia berkait rapat dengan kumpulan militan Islamic State (IS) sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

Malah sekiranya terdapat bukti pelajar tajaan Mara melibatkan diri dengan anasir yang bersifat mengancam keselamatan negara, mereka akan ditamatkan kontrak termasuk tajaan dengan serta merta.

“Kalau ia mengancam keselamatan dan menggugat kerajaan, memang kita tidak benarkan. Mereka kita hantar untuk belajar, bukannya menyertai program-program yang tidak dibenarkan, malah kita juga bimbang ia mempunyai unsur IS.

“Perkara ini jelas dinyatakan di para 1(b) dan 7 1) dalam pinjaman pelajaran Mara yang ditandatangani pelajar. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab mereka mematuhi semua syarat tersebut. Jika pelajar melanggar syarat ditetapkan, pihak Mara berhak menamatkan bantuan pinjaman pelajaran,” katanya kepada FMT.

Aziz berkata demikian ketika mengulas mengenai surat yang dikeluarkan Pengarah Mara AS, Hatifah Hussin yang tidak membenarkan pelajar di sana menyertai Muktamar Imsa-IMSG yang didakwa sebagai haram.

Menurut Hatifah, keputusan tidak membenarkan pelajar tajaan Mara menyertai himpunan tersebut adalah muktamad dan tindakan tegas bakal diambil kepada mereka yang ingkar.

“Pelajar tajaan Mara adalah tidak dibenarkan melibatkan diri sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam apa jua aktiviti berkaitan dengan Muktamar Imsa-IMSG 2016. Keputusan itu adalah keputusan muktamad dan tindakan akan diambil ke atas pelajar yang mengingkari arahan tersebut,” sebagaimana tertulis pada surat itu.

Susulan larangan tersebut, seorang bekas pelajar tajaan Mara di AS mengutuk keputusan Hatifah kerana menganggap himpunan tersebut tidak mengancam keselamatan negara.

“Sebenarnya Mara tidak ada hak mendakwa pelajar yang menyertai perkumpulan tersebut sebagai menyertai perhimpunan haram mahupun melabel MISG sebagai gerakan yang mengancam keselamatan negara. Sejak bila pula muktamar itu dilakukan secara haram?

“Sedangkan MISG sendiri setahu saya adalah sebuah persatuan berdaftar sebagaimana persatuan pelajar lain seperti East Coast Presidential Council, Namsa, Kelab Umno Luar Negara dan Isma US-Canada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.