
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata situasi itu menunjukkan trend penurunan 13% atau 13,866 kes denggi.
“Negeri Selangor merupakan penyumbang utama kepada kes denggi iaitu 51.3% atau 47,257 kes daripada jumlah kes keseluruhan,” katanya.
Dr Hilmi berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Gotong-Royong Mega Bersepadu Perangi Aedes peringkat Negeri Selangor di Gugusan Tanjung, Kota Damansara, hari ini.
Katanya Gugusan Tanjung, Seksyen 6 Kota Damansara itu dipilih kerana ia merupakan lokaliti hotspot dengan jumlah 51 kes denggi dicatatkan dalam tempoh berkenaan tahun ini berbanding 3 kes pada tempoh sama tahun lepas.
“Peningkatan kes di kawasan ini perlu dibendung dengan segera memandangkan masalah utama adalah pembuangan sampah di persekitaran dan longkang tersumbat menjadi punca pembiakan Aedes,” katanya.
Sebanyak RM16.5 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam membendung kes demam denggi dan melaksanakan program ‘Jelajah Negeri Selangor; Inikan Rumah Kita’ di seluruh negeri ini, kata Dr Hilmi.
Seramai 200 peserta terlibat dalam program berkenaan bagi menjayakan gotong-royong dengan penglibatan pelbagai agensi seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan lain-lain agensi.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sehingga 12 November, sejumlah 7,833 kes denggi dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, peningkatan 569 kes berbanding 7,264 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-Royong Mega 2016 Bersepadu Perangi Aedes peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara, hari ini.
“Bagi jumlah kumulatif kematian denggi sehingga 12 Nov adalah 18 kematian, berbanding 32 kematian bagi tempoh sama pada tahun 2015, iaitu menurun sebanyak 14 kematian,” katanya.
Katanya kes dan kematian denggi di ibu kota yang dilaporkan sehingga 12 November menunjukkan Parlimen Bandar Tun Razak paling tinggi iaitu 1,095 kes dan 4 kematian, diikuti Parlimen Segambut (899 kes, tiada kematian) dan Parlimen Setiawangsa (880 kes, 2 kematian).
Sementara, beliau berkata Projek Perumahan PPR Kampung Baru Air Panas mengalami 10 episod wabak denggi tahun ini dengan 44 kes berbanding 6 kali wabak pada tahun lepas dengan 48 kes demam denggi.
“Saya merayu kepada seluruh masyarakat khususnya warga kota supaya jaga kebersihan di persekitaran kediaman dalam memastikan bandar raya kita bersih,tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes dan kediaman tidak menjadi sumber merebaknya wabak denggi,” katanya.