
Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zein Isma Ismail berkata ini kerana nilai tawaran itu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal RM250.6 juta, yang diputuskan kerajaan negeri di bawah pimpinan bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Kita bimbang kemungkinan 2.4 juta rakyat Selangor tidak kira yang kaya atau miskin perlu membayar (tarif air) secara paksa RM1,200 seorang atas arahan kerajaan negeri, berikutan perlu menanggung lebihan RM2.45 bilion seperti didakwa Khalid.
“Setiap pengundi di Selangor juga perlu sedar adakah mereka akan gembira jika wang mereka diambil untuk tambah kekayaan pemegang saham SPLASH,” katanya pada sidang media di bangunan Umno Selangor di sini hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini mendakwa kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinan Khalid menawarkan RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014, namun Khalid menafikan dakwaan itu.
Sebaliknya, Khalid menegaskan tawaran terakhir dibuat pihaknya kepada SPLASH RM250.6 juta sebagai bayaran ekuiti.
Bekas menteri besar itu juga berkata bayaran berlebihan dalam pengambilalihan syarikat itu akan membebankan rakyat Selangor untuk tempoh 30 tahun akan datang.