Polis tahan peniaga R&R jual replika bom tangan

Polis tahan peniaga R&R jual replika bom tangan

Seorang wanita berusia 41 tahun boleh dikenakan hukuman penjara setahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali

azman-ayob_bom_600
MUAR:
Sebanyak 36 replika yang menyerupai bom tangan, peluru dan pistol dirampas daripada sebuah kedai menjual cenderamata di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Panchor, Lebuhraya Raya Utara-Selatan arah selatan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Azman Ayob berkata rampasan dianggarkan bernilai RM800 itu terdiri daripada 2 replika bom tangan bersaiz besar; 1 bom asap bersaiz besar; 11 bom tangan kecil; 12 bom asap kecil; 1 peluru dan 9 pistol.

Beliau berkata polis menahan pemilik kedai iaitu seorang wanita tempatan berusia 41 tahun untuk siasatan lanjut.

Katanya wanita itu didapati mempunyai lesen perniagaan yang sah daripada Majlis Perbandaran Muar.

“Dari siasatan awal, suspek menyatakan bahawa dia membeli barangan tersebut daripada sebuah syarikat pemborong alat mainan di Kuala Lumpur dan suspek juga didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” kata Azman dalam sidang media di sini, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksysen 36 Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan, pemilik boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Azman mengingatkan peniaga dan orang ramai agar tidak menjual barang cenderamata menyerupai senjata api atau bahan letupan kerana mampu menimbulkan kegusaran kepada masyarakat selain salah dari segi undang-undang.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes samun sebuah kedai serbaneka di Jalan Damai, Taman Damai, Sungai Abong, di sini malam semalam agar tampil berjumpa polis.

Katanya dalam kejadian kira-kira 8.50 malam itu, seorang pembantu kedai berkenaan yang berusia 21 tahun dipaksa mengeluarkan wang berjumlah RM100 dari mesin pengeluaran wang (ATM).

“Berdasarkan siasatan kamera litar tertutup (CCTV), suspek adalah lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 40-an, memakai baju berkolar dan berwarna hitam, merah dan putih serta berseluar Jeans biru.

“Suspek juga memakai topi besbol berwarna kelabu dan memakai selipar berwarna hitam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.