Tiada tanah runtuh, banjir lumpur di LPT

Tiada tanah runtuh, banjir lumpur di LPT

Anih Berhad dalam kenyataan media berkata sebaliknya kejadian pada 3.40 petang itu hanyalah limpahan air dari bukit akibat hujan lebat pada waktu itu.

anih-berhad-lpt
KUANTAN:
Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Anih Berhad (Aneh) hari ini menafikan berlakunya kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di Kilometer 171 LPT1 menghala ke Kuantan dekat Maran petang tadi.

Anih dalam kenyataan media di sini hari ini berkata sebaliknya kejadian pada 3.40 petang itu hanyalah limpahan air dari bukit akibat hujan lebat pada waktu itu.

“Panjang jalan yang terlibat 30×10 meter termasuk bahu jalan dan kedalaman air pada waktu itu 0.1 meter saja.

“Air berwarna coklat seperti yang tersebar dalam gambar di media sosial itu bukan disebabkan lumpur tetapi hanyalah keladak. Tidak lama selepas itu air limpahan bertukar jernih,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu Anih meminta pengguna LPT agar tidak risau kerana lebuh raya itu boleh dilalui seperti biasa setelah air surut dan setelah selesai kerja pembersihan dilakukan pada 4.38 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran DSP Mat Rizal Mat Radzi berkata kejadian limpahan air di lebuh raya berkenaan tidak serius dan tidak menyebabkan gangguan lalu lintas.

“Laluan itu boleh dilalui seperti biasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.