
Ini tindakan proaktif Malaysia bagi menghadapi kemungkinan besar Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Donald Trump tidak akan menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang ironinya diterajui Washington.
TPP melibatkan 12 negara iaitu AS, Jepun, Malaysia, Vietnam, Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile dan Peru.
Daripada negara ini, Malaysia tidak mempunyai sebarang bentuk perjanjian perdagangan dengan Kanada dan Peru, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamad pada sidang akhbar mengenai acara National Aerospace akan datang, di sini, hari ini.
Malaysia juga tidak mempunyai FTA dengan AS.
Memandangkan senario semasa, Malaysia kini menimbang peluang perdagangan 2 hala dengan Kanada dan Peru di luar acara Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Lima, Peru, minggu depan.
“Negara itu pasaran yang besar bagi Malaysia,” kata Mustapa.
Beliau berkata pada mesyuarat di Peru, Malaysia akan menerima dengan terbuka apa yang boleh dicapai, kerana akan ada lebih kejelasan tentang masa depan TPP.
Terdahulu hari ini Mustapa berkata TPP memerlukan ratifikasi dari sekurang-kurangnya 6 negara, yang menyumbang 85% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada 12 negara itu, untuk memastikan perjanjian tersebut dapat dikuatkuasakan.
KDNK AS saja menyumbang kira-kira 60% daripada jumlah KDNK ahli TPP.
Sehubungan itu, katanya tidak akan ada TPP tanpa penyertaan AS.