
“Pasangan satu lagi tidak akan tahu apa yang dilakukan di belakang mereka,” kata peguam Fahri Azzat.
Peguam itu berkata demikian dalam hujahnya bagi pihak guru tadika M Indira Gandhi yang memohon untuk membatalkan penukaran unilateral 3 anaknya oleh bekas suami yang merupakan seorang mualaf, Muhammad Riduan Abdullah.
Beliau berkata, kedua-dua pasangan perlu diberi hak untuk membuat keputusan mengenai penukaran agama anak-anak mereka.
“Mahkamah sivil perlu diberi bidang kuasa menyelesaikan pertikaian itu demi kepentingan anak-anak kerana kedua-dua pihak boleh mewakili,” katanya.
Fahri berkata pada masa ini pasangan yang memeluk Islam boleh berbuat apa-apa sahaja secara unilateral dan membiarkan pasangannya dalam kesusahan dan ia pelanggaran keadilan asasi.
Fahri berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2007 dalam kes Subashini Rajasingam v Saravanan Thangathoray, ibu tunggal boleh menukar agama anak-anak mereka adalah “obiter dictum” atau kata-kata sekali lalu.
Dalam kes itu, 3 panel hakim secara majoriti mentafsirkan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan memutuskan salah seorang ibu bapa boleh menukar agama anak-anak mereka.
Peruntukan ini menyatakan agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu bapa atau penjaganya.
Hakim-hakim berpendapat perkataan “ibu bapa” sebagai “ibu tunggal” dan ia mewakili sama ada suami atau isteri mempunyai hak menukar agama anak daripada perkahwinan kepada Islam.
Bagaimanapun, Fahri hari ini memberitahu panel yang Jadual ke-11 Perlembagaan memperuntukkan, dalam mentafsir undang-undang tertinggi negara ini, “kata-kata dalam bentuk tunggal meliputi bilangan jamak, dan perkataan dalam bilangan jamak termasuklah bilangan tunggal”.
“Prinsip kesaksamaan dan perlindungan daripada diskriminasi akan dilanggar jika salah satu pihak kepada perkahwinan sivil dibenarkan membuat keputusan unilateral terhadap penukaran agama anak-anak,” katanya.
Beliau berkata mahkamah tertinggi terpaksa meletakkan perkara itu dalam perspektif yang betul kerana Malaysia sudah mengiktiraf konvensyen antarabangsa untuk melindungi hak wanita dan kanak-kanak.
Sementara itu, peguam K. Shanmuga berhujah yang mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar kes Indira kerana ia mengenai kesahihan sijil penukaran anak-anak kecil itu.
Ia adalah isu pentadbiran undang-undang untuk melihat sama ada pihak berkuasa awam mematuhi enakmen negeri,” katanya.
Peguam Aston Paiva juga memberitahu panel yang anak-anak Indira tidak hadir dan tidak mengerti proses pertukaran agama itu.
“Persoalan timbul sama ada kanak-kanak itu memeluk Islam dengan kerelaan hati mereka,” katanya sambil menambah tindakan pihak berkuasa bercanggah dengan beberapa peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Enakmen Islam (Perak) 2004.
Pada Disember, Mahkamah Rayuan memutuskan secara majoriti yang kesahihan penukaran kanak-kanak oleh Riduan hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dan Badariah Sahamid berkata mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar penukaran.
Bagaimanapun, Hakim Hamid Sultan Abu Backer, dalam penghakiman bertentangan berkata, perkara itu hanyalah melibatkan perkara pentadbiran dan mahkamah sivil boleh menyiasat perkara itu.
Mahkamah Tinggi Ipoh memegang sijil penukaran agama kanak-kanak – Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa – adalah batal dan tidak sah.
Indira menamakan pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Pendaftar Muallaf, kerajaan Perak, Kementerian Pendidikan, kerajaan Malaysia dan Riduan sebagai responden.
Pendengaran 5 panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin ditangguhkan hingga 5 Disember ini bagi responden membalas.