
Zuraida Kamaruddin mengakui mengarahkan peguamnya tetuan Daim dan Gamany menghantar surat tuntutan berkenaan pada ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu, tengah hari tadi.
“Saya sudah mengarahkan peguam saya membuat tindakan undang-undang kepada Jamal. Ia adalah berdasarkan kepada kata-kata Jamal.
“Tuduhan yang dibuat Jamal tidak benar dan berunsur fitnah. Ia memalukan saya yang saya menumbuk dia,” katanya kepada pemberita, di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Zuraida bersama beberapa penyokongnya berada di pusat beli belah Ampang Point bagi mengedarkan risalah Bersih 5, ketika sekumpulan diketuai Jamal mula mengherdiknya dalam usaha kumpulan Baju Merah menghalang perhimpunan November 19 anjuran Bersih 2.0.
Jamal yang cedera di hidungnya ketika pergelutan dengan beberapa beberapa pegawai polis, dirakam dalam sebuah klip video menjerit beberapa kali “Polis pukul saya”.
Tidak lama selepas itu, beliau bagaimanapun menuduh seorang penyokong Bersih bertanggungjawab atas kecederaan yang dialami itu.
Ketua Wanita PKR itu berkata, selain meminta Jamal membuat permohonan maaf, beliau turut menuntut agar pemimpin Umno itu membayar sebarang kos kerosakan yang berlaku sewaktu pergaduhan semalam.
“Peguam saya sudah faks ke pejabat beliau (Jamal). Sehubungan itu, saya juga akan membuat laporan polis pada jam 10 pagi esok, di Ibu Pejabat Daerah Polis Ampang. Ia diikuti dengan laporan polis lain di seluruh negara,” katanya lagi.
Jelasnya, sudah tiba masanya Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan terhadap Jamal, kerana banyak bukti dan siri ugutan yang dilakukan.
“Ketua polis negara) sudah mempunyai banyak bukti untuk bertindak terhadap Jamal,” katanya.
Zuraida turut mempersoalkan hasrat Jamal menaiki helikopter bagi meninjau kawasan perumahan pemimpin muda PKR.
Jamal sebelum ini berkata pihaknya akan “melakukan apa sahaja” bagi menghalang perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur, yang bertujuan memberi tekanan kepada Najib meletak jawatan.
“Apa sahaja yang akan berlaku saya tidak peduli, isu keselamatan jadi nombor 2 dalam senarai kami. Bagi kami, ia adalah penting untuk menghalang mereka dalam apa jua cara,” kata Jamal kepada FMT.
Jamal turut mengugut untuk membalas tindakan pihak yang memukulnya dan berjanji “hutang darah dibayar darah”.