Air pasang besar, penduduk Klang dipindahkan

Air pasang besar, penduduk Klang dipindahkan

Setakat ini, 117 mangsa ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Kapar manakala 27 mangsa membabitkan 4 keluarga di Dewan Palembang, Rantau Panjang, Klang.

Penduduk Kapar dipindahkan, elak air pasang besar
SHAH ALAM:
Fenomena air pasang besar di Selangor setakat ini hanya membabitkan penduduk di sekitar daerah Klang dengan 144 orang dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir setakat 8 pagi ini.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Bencana Selangor, 117 mangsa membabitkan 43 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Kapar manakala 27 mangsa membabitkan 4 keluarga di Dewan Palembang, Rantau Panjang, Klang.

“Sehingga kini, fenomena air pasang besar yang melanda setinggi 5.5 meter di kawasan pesisir pantai di Selangor hanya menyebabkan penduduk di sekitar Klang dipindahkan. Pusat pemindahan di daerah lain seperti di Sabak Bernam belum lagi dibuka,” katanya.

Fenomena air laut pasang besar dilaporkan berlaku 5 hari bermula hari ini di beberapa kawasan pesisir pantai Selangor dengan ketinggian paras air dijangka mencecah sehingga 5.6 meter.

Dua daerah iaitu Klang dan Sabak Bernam dikategorikan sebagai zon merah atau kawasan berisiko tinggi dilanda banjir manakala 3 daerah lagi iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang sebagai zon kuning, kawasan berisiko sederhana.

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata penduduk di kawasan Batu 5, Kapar berada dalam keadaan selamat dan terkawal berikutan air laut melimpah dengan kadar minimum.

Ban yang pecah di kawasan Batu 5, Kapar ekoran air pasang sebelum ini menyebabkan lebih 10 rumah dinaiki air.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.