20 wanita Thailand hilang selepas ditawarkan kerja di Johor

20 wanita Thailand hilang selepas ditawarkan kerja di Johor

Ahli keluarga bimbang mangsa dipaksa menjadi pengemis atau ditahan pihak berkuasa Malaysia kerana tidak mempunyai permit kerja.

Border-Thailand
PETALING JAYA: Waris kepada 20 wanita berumur yang menerima tawaran pekerjaan di Malaysia bimbang kerana terputus hubungan dengan mereka sejak meninggalkan negara itu, akhir September lalu.

Mereka bimbang wanita terbabit dipaksa menjadi pengemis atau ditahan pihak berkuasa Malaysia kerana tidak mempunyai permit kerja.

Mamakadee Sulong dari daerah Yaha yang dipetik Bangkok Post berkata, seorang broker pekerjaan menawarkan ibunya, Hamida Saleh, 57, bekerja sebagai penjual barang di Johor.

Ibunya bersama 20 wanita lain meninggalkan daerah Sadao di Songkhla pada 24 September lalu dan terputus hubungan dengannya sejak itu.

Katanya, beliau meminta pihak berkuasa membantu mengesan kumpulan wanita itu selepas dimaklumkan mereka ditahan 2 hari setibanya di sana kerana tiada permit kerja.

“Broker itu berkata, dia mahu wanita tua menjual barang di Malaysia dan mereka patut bawa bersama baju lama supaya orang akan simpati dan membeli barang dengan mereka.”

Mamakadee turut mendakwa broker itu meminta berpuluh ribu baht untuk mencari ibunya.

Beliau yang sudah membayar wang itu sehingga kini tidak tahu di mana ibunya berada dan ayahnya sudah meninggal dunia selepas jatuh sakit kerana bimbang dengan keadaan isterinya.

Katanya, wanita lain dalam kumpulan itu ialah Liyoh Sulong, 80, dari wilayah Pattani serta 3 lagi wanita dari Yala iaitu Salama Balo, 51; Leema Jehdo, 65, dan Koriya Samae, 53.

Boroheng Damae yang berasal dari Pattani berkata, ibunya Koyah Kajemuso, 50, turut berada dalam kumpulan sama dan brokernya meminta 20,000 baht (RM2,471) untuk mencari wanita itu, namun beliau tidak mempunyai wang sebanyak itu.

Harong Mayi yang merupakan ketua Ban Johkladee di daerah Yaha berkata, beliau menghabiskan masa 4 hari di Johor untuk mencari kumpulan wanita terbabit, namun tidak berhasil dan diberitahu mangsa ditahan serta dihantar ke sebuah rumah sementara menunggu dihadapkan ke mahkamah.

Duta Besar Thailand ke Malaysia, Damrong Kraikruan yang dipetik Bangkok Post berkata, beliau sedia maklum mengenai perkara itu dan sedang berusaha mencari kumpulan wanita yang hilang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.