Semua penternak babi wajib ada 2 lesen, kata exco Selangor

Semua penternak babi wajib ada 2 lesen, kata exco Selangor

Mereka perlu mempunyai lesen daripada JPV dan LUAS bagi membolehkannya beroperasi.

Zaidy-Abdul-Talib
SHAH ALAM:
Exco Selangor Zaidy Abdul Talib hari ini memperjelaskan 125 daripada 128 ladang ternakan babi yang ada di Kuala Langat mempunyai lesen daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Manakala, hanya 31 ladang ternakan babi di kawasan itu mempunyai lesen kemasukan dan pelepasan bahan tercemar daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
“Laporan yang dibuat (akhbar) Berita Harian sebelum ini tidak tepat dan tidak benar. Jumlah sebenar ladang ternakan babi yang ada di Kuala Langat adalah 128.

“Baki 97 ladang ternakan babi di Kuala Langat tidak mendapat lesen daripada LUAS kerana mereka masih dalam proses permohonan,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Media sebelum ini melaporkan mendedahkan hanya 31 daripada 132 ladang babi yang beroperasi di kawasannya berlesen.

Menurut laporan itu, 127 daripada ladang itu menjadi penyebab pencemaran bau, tanah dan sungai di Kampung Batu Laut, Sepang.

Dalam sidang media itu, Pemangku Pengarah LUAS, Nor Zamri Sondor turut hadir bagi menjelaskan laporan yang tidak tepat itu.

Mengulas lanjut, Zaidy turut menjelaskan penternak babi mestilah mempunyai 2 lesen untuk menjalankan operasi mereka.

“Lesen penternakan adalah kebenaran daripada kerajaan melalui (JPV) untuk yang ada ladang, ternakan dan menguruskan aktiviti penternakan. Manakala lesen daripada LUAS adalah untuk pelepasan bahan tercemar dalam saliran.

“Lesen daripada LUAS ini baru dikuatkuasakan pada 2015 dan diwajibkan kepada semua penternak. Oleh itu, penternak babi yang belum mempunyai lesen daripada LUAS sedang dalam proses permohonan lesen ini,” katanya.

Sementara itu, Zaidy berkata semua pihak perlu mengambil kerjasama menyelesaikan pencemaran di kawasan ternakan babi dan bukan mengambil kesempatan bagi kepentingan politik.

“Ternakan babi di kawasan itu sudah lama. Jadi bukan mudah untuk kita tukar cara kerja daripada konvesional kepada moden dan sebagainya. Perkampungan Melayu dalam kawasan itu pun sudah lama.

“Kita dalam proses untuk menyelesaikan perkara ini dan minta ia jangan jadikan isu untuk kepentingan politik. Kita akan bangunkan di kawasan Ladang Tumbuk sebagai zon ternakan babi.

“Ladang-ladang di Kampung Batu Laut akan dipindahkan ke Ladang Tumbuk sebab di situ tertumpu ternakan babi yang banyak. Penduduk juga suka sebab kita sedang nak selesaikan masalah pencemaran bau dan saliran dan tiada sebab mereka membantah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.