
“Ini bermakna sekiranya ada calon Melayu yang layak bertanding, Singapura akan menerima presiden Melayu sekali lagi, ia merupakan yang pertama dalam 46 tahun sejak presiden pertama kita Encik Yusof Ishak,” kata Lee dipetik akhbar The Straits Times.
Langkah mengkhususkan jawatan presiden kepada kaum tertentu merupakan antara usaha Singapura memberikan peluang kaum selain daripada majoriti Cina memegang jawatan simbolik itu.
Jawatan presiden tidak mempunyai kuasa politik seperti perdana menteri, dan mula dipertandingkan sejak 1993.
Wajah Yusof, presiden pertama republik itu selepas berpisah daripada Malaysia, tertera di mata wang dolar Singapura.
Beliau digantikan Dr Benjamin Sheares, seorang berbangsa serani, dan disusuli Devan Nair sebagai presiden ketiga.
Empat presiden lain Singapura sejak itu ialah Wee Kim Wee, Ong Teng Cheong, S.R. Nathan dan kini Tony Tan Keng Yam yang akan mengakhiri jawatannya pada Ogos tahun depan.
Lee ketika berucap pada Hari Kebangsaan tahun ini mengakui adalah mustahil calon bukan Cina boleh menang di bawah sistem pilihan raya yang diamalkan di Singapura.
Menurutnya, pindaan yang dicadangkan bukan sekadar menjadi hiasan, tetapi langkah tepat demi masa depan Singapura.
“Ia simbolisme yang amat perlu sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa, sebagai mewakili Singapura dan impian kita,” kata Lee.
Kira-kira 74% rakyat Singapura terdiri daripada keturunan Cina, diikuti Melayu (13%) dan India (9%).