
Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berkata, gaji RM1,620 sebulan yang diberi kepada pemandu dilihat tidak mencukupi memandang tugas seorang pemandu tidak menentu.
“Pemandu exco kerja siang malam, ikut exco turun padang bagi penerangan sampai jam 1 hingga 2 pagi dan keesokan hari, pukul 6 pagi sudah keluar mengambil exco.Saya cadangkan supaya gaji pemandu exco sebanyak RM1,620 disemak. Exco kerja siang malam nak ke sana sini dengan pemandu, jadi kebajikan mereka jangan dilupakan.
“Saya minta Dewan semak semula gaji mereka dan kalau boleh pertimbang untuk dinaikkan. Sedangkan harga petrol dan minyak masak pun naik akibat kerajaan yang zalim dan mereka bertambah susah,” katanya semasa berucap di Dewan Negeri Selangor (DSN) hari ini.
Sementara itu, Dr Xavier Jayakumar (PKR-Seri Andalas) mencadangkan exco kerajaan Selangor diberi 2 pemandu bagi memudahkan urusan kerja dan memberi masa kepada pemandu untuk berehat.
“Mereka turun rumah jam 6 pagi dan balik 2,3 pagi. Jadi, saya cadangkan exco disediakan 2 pemandu,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika memberi maklum balas berhubung cadangan Suee Lim berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan tersebut.
“Berhubung elaun, gaji kakitangan kerajaan negeri, saya percaya pendirian kerajaan negeri adalah berdasarkan satu prinsip, yang jelas melibatkan produktiviti mesti diutamakan,” katanya.