
Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 berkata demikian menjawab siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ke atas Bersih dan Malaysiakini, berhubung sumbangan daripada Open Society Foundation (OSF) yang dikaitkan kepada hartawan George Soros.
Gabungan itu menyifatkan kesungguhan kerajaan sebagai “pilih kasih”.
“Apabila tuduhan yang sama telah dibuat terhadap “Malaysian Official 1” yang menerima ‘derma’ dan menyalahgunakan dana awam dalam jumlah yang cukup besar, menteri-menteri yang sama bergesa-gesa mempertahankannya.
“Tetapi apabila wujud dakwaan dana asing untuk NGO dan portal berita, menteri-menteri yang sama bertindak mengutuk dana asing untuk NGO dan portal berita,” kata Bersih 2.0 dalam satu kenyataan petang tadi.
Gabungan itu menegaskan tiada peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberi kuasa kepada SKMM untuk menjalankan siasatan ke atas mereka.
Selain Bersih dan Malaysia, badan peninjau pendapat awam Merdeka Centre turut disiasat SKMM berhubung penerimaa dana daripada OSF.
“Bersih 2.0 kecewa kerana menteri-menteri yang sepatutnya meneraju negara ini tidak memahami undang-undang dan perlembagaan dan bertindak di luar batas mereka,” kata kenyataan itu.
Polis turut menyiasat Bersih, Malaysiakini dan Badan Peguam Malaysia di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.