
Ini kerana ketuanya Datuk Jamal Md Yunos tidak pernah membincangkan tunjuk perasaan itu dengan Umno walaupun dia ketua bahagian parti di Sungai Besar, Selangor.
“Kenapa tanya saya?” jawab Annuar, yang merupakan Ketua Penerangan Umno. “Baju Merah tidak ada kena mengena dengan Umno.”
“Kita (Umno dan Baju Merah) tidak pernah bincang (tunjuk perasaan itu). Itu bukan Umno. Itu Jamal,” katanya semasa sidang media di Pejabat Umno Selangor hari ini.
Semalam Jamal bersama 200 aktivis Baju Merah menunjuk perasaan di hadapan pejabat media Malaysiakini susulan pendedahan portal itu menerima sumbangan daripada Open Society Foundations (OSF) yang dikaitkan kepada hartawan George Soros.
Malaysiakini akui geran OSF digunakan oleh unit penyiaran KiniTV untuk menerbitkan buletin berita dan dokumentari berkenaan Sarawak.
Mereka menuntut Malaysiakini menutup operasi kerana “menjadi wadah fitnah pihak Bersih dan DAP”.
Minggu lalu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata pemuda parti boleh menyertai aktiviti anjuran Baju Merah.
“Mereka boleh sertai (himpunan) Baju Merah, selagi tidak melanggar undang-undang,” kata Khairy.
Tunjuk perasaan semalam berlangsung secara aman kecuali aksi pukul memukul sesama mereka dalam suatu pertunjukan yang menyerupai seni mempertahankan diri.
Pautan:
Demonstrasi setiap hari selagi Bersih tak undur, kata Jamal Yunos