Khalid tawar RM2.9 bilion pada SPLASH, kata Azmin

Khalid tawar RM2.9 bilion pada SPLASH, kata Azmin

MB Selangor itu berkata nilai tawaran ini juga tidak pernah dimaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri Selangor.

azmin-khalid-ibrahim
SHAH ALAM:
Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa berselindung di sebalik nilai sebenar pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH), kata Datuk Seri Azmin Ali.

Menteri besar itu berkata nilai pengambilalihan SPLASH terdahulu juga tidak dimaklumkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan ia bertentangan dengan amalan dipraktikkan dalam pentadbiran negeri.

“Pentadbiran sebelum ini menyatakan nilai tawaran pengambilalihan SPLASH RM250 juta dan inilah angka diuar-uarkan seantero dunia, namun orang sama tidak pernah memaklumkan kepada Dewan berkenaan tawaran RM2.975 bilion dibuat kepada SPLASH melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya 19 Julai 2009.

“Ia dengan pecahan seperti berikut iaitu nilai ekuiti RM1.579 bilion dan nilai liabiliti RM1.396 bilion,” katanya ketika menyertai sesi penggulungan Belanjawan 2017 Negeri pada sidang Dewan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Sulaiman Razak (Permatang-BN) mengenai status terkini pembelian syarikat SPLASH.

Azmin berkata semua perjanjian pengambilalihan SPLASH mestilah dibawa ke dalam MMKN dan akan dibahaskan di dalam DUN negeri itu.

“Semua cadangan dan perbincangan mengenai pengambilalihan SPLASH, saya bawa dalam MMKN dan apabila ia dicadangkan maka saya bersedia membahaskan di dalam dewan ini,” katanya.

Menurut Khalid, kerajaan negeri hanya menawarkan SPLASH RM250.6 juta saja sebelum ini selepas mengambil kira liabiliti yang ditanggung syarikat itu.
SPLASH menolak tawaran itu dan menegaskan nilai syarikatnya berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika dikira tempoh konsesi 16 tahun yang perlu dilupuskan, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.

Sebaik saja Azmin dilantik menggantikan Khalid, Adun Bukit Antarabangsa itu dikatakan hampir bersetuju untuk membayar jumlah pampasan dituntut SPLASH iaitu RM2.7 bilion, peningkatan RM2.45 bilion daripada tawaran asal.

Azmin sebelum ini memberitahu rundingan kerajaan negeri dengan SPLASH akan dimuktamadkan pada Oktober 2016.

Namun sehingga berakhirnya Oktober, rundingan itu masih belum mencapai kata putus.

Selangor di bawah pentadbiran Khalid berjaya mengambil alih 3 syarikat konsesi dengan jumlah pampasan bernilai RM1.68 bilion.

Daripada jumlah itu PNHB menerima RM1.07 bilion manakala Syabas dibayar RM0.52 bilion dan Abbas RM0.09 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.