
Menteri besar Selangor itu berkata, peruntukan itu sepatutnya digunakan untuk pembangunan dan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, bukannya untuk kegunaan diri dan kemudahan pejabat adun.
“Saya tidak berhasrat menarik balik kerana peruntukan (sudah) diberikan, cuma nasihat saya kepada mereka supaya peruntukan ini juga digunakan bagi rakyat, jangan hanya untuk kepentingan diri sendiri sahaja.
“RM200,000 ini ialah untuk rakyat di kawasan masing-masing, tetapi adun pembangkang ambil hanya untuk kepentingan diri dan kemudahan pejabat, sedangkan peruntukan kita siapkan untuk rakyat, mereka sengaja tidak ambil dan ini seharusnya tidak berlaku,” katanya di DUN Selangor hari ini.
Katanya sebagai menjawab soalan Adun BN-Dengkil, Sharum Mohd Sharif berhubung peruntukan RM700,000 kepada adun kerajaan negeri berbanding adun BN yang hanya menerima RM200,000 setahun.
Azmin berkata, kerajaan negeri memberi RM6,000 untuk pengurusan pejabat adun, manakala RM200,000 bagi kegunaan adun di kawasan masing-masing secara sama rata kepada setiap wakil rakyat, termasuk BN.
“RM200,000 Dengkil dapat, Sekinchan pun dapat, manakala baki RM500,000 diuruskan penyelaras DUN,” katanya.
Mulai 2015, kerajaan negeri meluluskan RM200,000 kepada setiap adun bukan kerajaan dan RM700,000 untuk adun kerajaan negeri bagi tujuan meningkatkan infrastruktur asas dan kemudahan awam serta menjalankan aktiviti mesra rakyat di kawasan DUN masing-masing.