Jamal dan 50 pengikut ke pejabat Malaysiakini mengenai Soros

Jamal dan 50 pengikut ke pejabat Malaysiakini mengenai Soros

Jamal turut mengugut meruntuhkan bangunan Malaysiakini, tetapi dibenarkan masuk dan diberi penjelasan.

jamal
PETALING JAYA: Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos hari ini tiba di pejabat Malaysiakini bersama kira-kira 50 penyokong membantah penerimaan dana sebuah pertubuhan Amerika Syarikat oleh portal media.

Mereka tiba pada jam 2.40 petang dan dibenarkan masuk ke pejabat berkenaan, disambut Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan.

Pada pertemuan itu, Jamal mengugut “meruntuhkan” bangunan Malaysiakini ekoran bantahannya terhadap portal itu menerima dana Open Society Foundations (OSF) yang dimiliki hartawan terkemuka AS, George Soros.

“Kita tidak mahu melihat sistem keamanan yang kita kecapi sekian lama ini akhirnya terkubur kerana media-media yang memberikan liputan yang berat sebelah, fitnah dan tidak betul.

“Kami berikan sehingga 5 November ini. Kalau tidak, NGO seluruh negara akan lakukan protes secara besar-besaran dan sekurang-kurangnya 20,000 orang akan turun. Malah akan pastikan sebahagian bangunan ini akan runtuh,” katanya.

Sementara itu, editor bahasa Melayu Malaysiakini, Jimadie Shah Othman, menjelaskan wang diterima daripada OSF hanyalah sebahagian kecil, dan portal itu tidak bergantung sepenuhnya kepada dana berkenaan.

“Kebanyakannya datangnya daripada iklan dan itulah sumber dana Malaysiakini,” kata beliau.

“Dalam berita bahasa Inggeris, langganan daripada pembaca itulah sumber pendapatan kami. Kami tidak menafikan, memang ada KiniTv terima dana tetapi dalam jumlah yang sedikit dan dana itu juga untuk berita berkaitan Sarawak.

“Untuk mengatakan kita mahu menumbangkan kerajaan itu bukanlah amalan kita, di Malaysiakini kita cuba hasilkan berita yang berimbang dan adil untuk semua pihak,” tambahnya.

Pertemuan Jamal dan wakil Malaysiakini pada 3.30 petang itu berakhir dengan aman.

Jamal melahirkan rasa lega mendapat penjelasan mengenai dana OSF itu.

“Kami telah dapat penjelasan, mereka mengaku mereka menerima sumbangan tersebut dan mereka telah beri penjelasan di dalam website. Itu yang kami nak dengar.

“Kami mempersoalkan sejauhmana hubungan mereka dengan penyangak wang ini (OSF). Hari ini beliau (OSF) cuba datang kembali ke negara kita, mereka tahu pada 2018 selewat-lewatnya akan ada pilihan raya umum, sebab itu mereka berikan dana,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat aduan berhubung penyaluran dana asing kepada portal berita, dan laporan mengenainya akan diserahkan kepada peguam negara untuk tindakan lanjut.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan akan dibuat terhadap dakwaan hartawan Soros membiayai Bersih 2.0, Merdeka Center dan Malaysiakini.

 

 

Portal media terima dana asing akan disiasat, kata menteri

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.