Selangor bawa kertas siasatan pencemaran air kepada peguam negara

Selangor bawa kertas siasatan pencemaran air kepada peguam negara

Pihak Jabatan Alam Sekitar dan LUAS juga membuka kertas siasatan dan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

encemaran di Kampung Sungai Lalang, Semenyih
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor membuka kertas siasatan berhubung kes pencemaran di Kampung Sungai Lalang, Semenyih dan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara bagi tindakan pendakwaan dalam tempoh terdekat.

Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan mengumpul pelbagai bukti untuk dibuat pendakwaan.

“Tindakan notis di bawah Seksyen 79 (1) (d) Enakmen LUAS 1999 diberi kepada premis yang disyaki melakukan pencemaran bau terhadap Sungai Semenyih pada 4 Oktober 2016.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan LUAS juga membuka kertas siasatan yang pada ketika ini sudah selesai. Dari sini, semua kertas akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya termasuk membawa kes ini kepada pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa dalam sesi menjawab di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor mengenai pencemaran air di Selangor.

Mengulas lanjut, setakat ini, Majlis Pembandaran Kajang (MPKJ) mengenakan notis operasi tanpa lesen dan beberapa barangan operasi disita.

“Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat mengeluarkan notis 7A di bawah Kanun Tanah Negara. Sementara JAS mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Alam Sekitar 1974,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Semenyih mengalami pemberhentian tugas sebanyak 8 kali iaitu pada 22, 23 dan 24 September juga pada 3, 23 dan 28 Oktober serta 7 dan 8 Oktober (Langat dan Cheras Batu 11).

Katanya, pencemaran itu juga berpunca daripada pencemaran bau bahan pencemar “Ethyl Acetate”, manakala di Bentong, Pahang bahan pencemar “Benzyl Alcohol” dan di Nilai, Negeri Sembilan ialah bahan pencemar “4-Bromodiphenyl Ether”.

“Dianggarkan sebanyak 1.8 juta pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual kesan pencemaran tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.