Logo halal baharu akan kelirukan pengguna, kata timbalan menteri

Logo halal baharu akan kelirukan pengguna, kata timbalan menteri

Tajuddin berkata, logo halal sedia ada yang dikeluarkan Jakim sudah memadai, malah ia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

tajuddin-halal
PASIR SALAK:
Malaysia tidak memerlukan logo halal baharu untuk memasarkan produk Muslim kerana ia hanya akan mengelirukan pengguna, kata timbalan menteri pertanian dan industri asas tani.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, logo halal sedia ada yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah memadai, malah ia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Pakai saja logo halal sedia ada daripada Jakim,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan program perangi dadah habis-habisan anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), hari ini.

Tajuddin mengulas cadangan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin untuk kerajaan mewujudkan logo halal khusus bagi produk yang dikeluarkan usahawan industri kecil dan sederhana Islam.

Cadangan sama turut dibuat Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Dalam perkembangan lain, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak mencadangkan kerajaan mengkaji semula kaedah penguatkuasaan serta pencegahan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, kaedah termasuk program pameran yang dilaksanakan ketika ini dilihat kurang relevan, memandangkan jumlah penagih yang terus meningkat.

“Segala kemudahan dan kecanggihan teknologi masa kini harus digunakan bagi mendidik bahaya dadah melalui media baharu, selain kaedah konvensional, sekali gus dapat mencapai matlamat kempen memerangi dadah.”

Tajuddin turut menegur segelintir ibu bapa yang kurang bekerjasama dengan polis dan AADK jika anak mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Cadangan pengerusi Risda wujud logo ‘keluaran Muslim’ disokong PAS, PKR

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/26/bukankah-halal-sudah-memadai-soal-peguam-aktivis/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.