
Adun Sungai Panjang, Budiman Zohdi berkata hakikatnya bajet Selangor tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada rakyat.
“Kebanyakan orang tidak perasan bajet ini defisit. (Seperti dinyatakan dalam Belanjawan Selangor 2016), bajet akan alami defisit sebanyak RM900 juta dimana mencerminkan sikap jujur dan disiplin fiskal. Apa makna ini?
“Ini retorik dan cuba menggunakan kaedah bahasa bombastik untuk mengelirukan rakyat sedangkan ia adalah bajet defisit,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor.
Dalam perbentangan bajet oleh Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali pada Isnin lalu, ia mencatatkan defisit tertinggi setelah 8 tahun PKR memerintah Selangor yang berjumlah RM900 juta berbanding RM630 juta pada 2016.
Selangor memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM3.450 bilion pada 2017 bagi melaksanakan semua perancangan dan agenda kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sungai Panjang itu mempersoalkan langkah kerajaan negeri yang tidak mengadakan bajet berimbang dimana mengadakan bajet tambahan sekiranya memerlukan tambahan peruntukan pada tahun depan.
“Mengapa tidak adakan bajet berimbang? Apabila sumber itu tidak ada, kita buat satu lagi bajet berlainan sebab kalau bajet tambahan kita akan kemukakan dalam sidang jadi setidak-tidaknya kita boleh bahas terhadap peruntukan lebihan. Ini prinsip ketelusan yang saya sebutkan,” katanya lagi.
Pada masa sama, Budiman tidak menolak Belanjawan Selangor 2017 akan digunakan bagi menghadapi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Ternyata jelas (Belanjawan Selangor 2017) ini bajet untuk menghadapi PRU, walaupun kita tidak tahu bila PRU akan diadakan,” katanya.