
“Mengisi hari-hari persaraannya, beliau memilih untuk lebih menjadi pemerhati politik.
“Rakyat menghormati pilihannya, namun rakyat tetap tidak putus meletakkan harapan untuk Abdullah terus berperanan sebagai ‘abang tua’ yang tetap memberikan nasihat dan bimbingan, agar yang bengkok dapat diluruskan, yang keruh dapat dijernihkan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku “Being Abdullah Ahmad Badawi” di Pusat Konvensyen Sime Darby, hari ini.
Sultan Nazrin pada masa yang sama turut bertitah, kelangsungan dan kejayaan sesebuah negara bergantung kepada sejauh mana pemimpinnya berintegriti, jujur dan memiliki nilai moral yang tinggi.
Baginda bertitah, isu berkenaan amat dekat dan sentiasa dinilai masyarakat sebagaimana rakyat Amerika Syarikat yang mengutamakan nilai integriti pemimpin menjelang pilihan raya presiden negara itu.
“Kita akan terus berada dalam keadaan yang baik selagi ada insan berintegriti dalam kalangan kita, berbanding mereka yang tidak memiliki insan seperti itu,” titah baginda.