
Majlis pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah.
Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Abdullah merupakan tokoh kepimpinan negara yang unggul dan banyak menyokong usaha Mara memperluaskan peranan institusinya seperti Kolej Profesional Mara, Giatmara dan MRSM.
Beliau berkata, walaupun dengan menamakan MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi ia masih tidak dapat membalas jasa serta budi perdana menteri ke-5 itu dan Allahyarham perlu terus dikenang serta dihargai, terutama di Kepala Batas yang merupakan bekas kawasan Parlimen beliau.
“Selepas kematian Abdullah, saya menghubungi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan mencadangkan agar MRSM Kepala Batas ditukarkan kepada nama Allahyarham bagi mengenang jasa serta memberi penghormatan kepada beliau terutama kepada penduduk di Kepala Batas.
“Terus perdana menteri bersetuju dan beritahu yang beliau mendapat cadangan yang sama daripada Zahid dan Reezal Merican Naina Merican (Adun Bertam).
“Anwar arahkan saya percepatkan pertukaran nama kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi dan hari ini kita realisasikan,” katanya semasa berucap pada majlis itu.
Turut hadir anak Abdullah, Kamaludin dan keluarga Allahyarham, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Khair Razman Mohamed Annuar, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohamad Abdul Hamid dan Reezal yang pernah berkhidmat sebagai pegawai Abdullah.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah MRSM yang melaksanakan Ulul Albab dan ia dicadangkan sendiri oleh perdana menteri ke-5 itu supaya MRSM tersebut dijadikan antara perintis program Ulul Albab bagi melahirkan pelajar huffaz yang cemerlang dalam bidang akademik.
Beliau berkata, antara legasi terbesar Allahyarham dalam pendidikan Mara adalah pengukuhan sistem pendidikan dualistik dengan menggabungkan ilmu duniawi dan ukhrawi yang menjadi asas kepada program Ulul Albab MRSM.
“Sehingga hari ini, Mara memiliki lapan MRSM Ulul Albab di seluruh negara dengan cetusan idea dibawakan oleh Abdullah. Selain melahirkan pelajar huffaz yang cemerlang dalam bidang akademik, program Ulul Albab juga membentuk individu berintegriti tinggi yang bersedia memimpin masyarakat pada masa hadapan dengan berteraskan nilai Islam yang syumul,” katanya.
Abdullah pernah menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2008.
Beliau yang mesra dikenali sebagai Pak Lah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 14 April dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur keesokannya.