Bayar balik penumpang jika LRT, Monorail lewat 15 minit

Bayar balik penumpang jika LRT, Monorail lewat 15 minit

Polisi pembayaran balik juga akan digunapakai untuk Transit Aliran Massa (MRT) yang akan beroperasi hujung tahun ini.

nancy-lrt
KUALA LUMPUR: Para penumpang akan dibayar balik sekiranya gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) dan KL Monorail yang sepatutnya mereka naiki terlewat 15 minit, kata menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) berkata selain pembayaran balik, kupon penggantian perjalanan yang boleh digunakan keesokan hari turut disediakan kepada penumbang terkesan.

“Polisi yang sama juga akan digunapakai untuk laluan MRT yang dijangka akan mula beroperasi pada hujung tahun 2016,” katanya menjawab pertanyaan Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah).

Koh ingin mengetahui adakah kerajaan akan melaksanakan sistem pampasan bagi pengguna pengangkutan awam, seperti yang dilaksanakan di United Kingdom dan Jepun.

Katanya ia bagi memastikan kecekapan perkhidmatan LRT.

Beberapa kejadian LRT gagal menepati masa yang ditetapkan dilaporkan tahun ini, kes terbaharu menimpa laluan LRT Kelana Jaya menyebabkan ratusan pengguna terkandas.

Perkhidmatan LRT dan KL Monoral dikendali Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, iaitu sebuah syarikat milik kerajaan. Rapid Rail akan mengambil alih perkhidmatan MRT apabila ia dilancarkan nanti.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.