
“Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) harus tahu perbezaan antara pemandu teksi dan orang miskin bawa teksi,” kata penasihat Big Blue Capital Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail di satu sidang media di KLCC hari ini.
“Saya ada ramai orang miskin menjadi pemandu teksi, dan kita latih mereka menjadi pemandu profesional.
“Bukannya dengan meluluskan Uber (kemudian galak B40 jadi pemandu tanpa latihan).”
Industri teksi dilaporkan terhimpit ketika ini menghadapi persaingan daripada perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab.
Uber dan Grab memberi peluang kepada orang kebanyakan dan golongan profesional menjana pendapatan tambahan sebagai pemandu menggunakan kenderaan sendiri.
Semalam, Najib menyatakan sokongan kerajaan kepada perkhidmatan tersebut dan mengalakkan penyertaan golongan B40 sebagai pemandu Uber.
Dalam Bajet 2017, kerajaan mahu menyediakan rebat RM4,000 bagi membantu mereka membeli Proton Iriz bagi tujuan Uber, selain menggunakan BR1M untuk membuat bayaran pendahuluan.
“Sekarang kamu mahu orang miskin bawa Uber. Kerajaan pimpinan perdana menteri meletakkan semua pemandu profesional sama taraf orang miskin.
“Saya juga mahu cadangkan Uber diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Semalam Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) Kamarudin Hussain berkata pemandu teksi tidak boleh lagi berharap kepada kerajaan.
Timbalan Pengerusi PERS1M Kamarudin Hussain berkata insentif yang diberikan kepada pemandu teksi tidak mencukupi.
“Semasa pilihan raya umum ke-13 perdana menteri berjanji akan tranformasi industri teksi, tetapi apa yang berlaku sebaliknya apabila industri teksi dibunuh,” katanya.
Kerajaan dilaporkan mempunyai pelaburan dalam Uber melalui Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).