
Beliau mempertikaikan alasan kononnya nama makanan tertentu boleh mengelirukan orang Islam, termasuk pelancong.
“Pelancong Islam mana yang kita kelirukan? Pelancong barangkali tidak akan terkeliru kerana sudah biasa dengan ‘hot dog’ dan sebagainya,” kata bekas menteri perdagangan itu di Facebooknya.
Rafidah berkata mungkin ada segelintir pelancong Islam yang berasa ragu, tetapi itu bukan alasan untuk memuaskan hati minoriti, sementara melupakan majoriti rakyat Malaysia dan pelawat sedar apa itu “hot dog”.
“Jika ada orang Islam meragui status halal sesuatu, atau berasa was-was…jangan makan!” katanya.
Bekas ketua wanita Umno itu membidas pihak berkuasa kerana merosakkan nama negara.
“Kita sepatutnya menunjukkan kita negara kesederhanaan. Keputusan mereka itu menidakkan imej itu dan memaparkan seolah kita dalam bidang tertentu ditadbir oleh orang mata tertutup,” kata Rafidah.
Merujuk kepada penggunaan perkataan “dog” (anjing), Rafidah menyoal sama ada “orang tertentu terjangkit penyakit gila?”, dan menambah “kita tidak boleh sesuka hati menukar nama makanan bangsa lain!”
Sementara itu, Star Online melaporkan MCA mengingatkan komponen BN dalam kerajaan supaya mengawal pihak berkuasa agama yang nampaknya mahu “mendominasi dan mengawal orang lain”.
“Keseluruhan episod ini menidakkan golongan pro-hudud yang mendakwa undang-undang Islam dan pihak berkuasa agama tidak ada beri kesan kepada orang bukan Islam.
“Janji undang-undang Islam, pihak berkuasa dan peraturannya tidak akan memberi kesan kepada orang bukan Islam dalam masyarakat majmuk menjadi tidak bermakna sekiranya masih ramai yang tidak mendakap ajaran agama yang sebenar dalam perspektif yang betul,” kata Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ke dalam satu kenyataan.