Kenyataan Jamal sekadar ‘perang mulut’, kata Khalid

Kenyataan Jamal sekadar ‘perang mulut’, kata Khalid

Bagaimanapun, Khalid berkata, jika polis menerima laporan, mereka akan 'melihat' perkara itu.

jamal ynuns khalid
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan tindakan Datuk Jamal Md Yunos mengisytiharkan perang terhadap Bersih sebagai “perang mulut”.

“Setakat kenyataan melancarkan perang, pada saya ia hanyalah ‘war of words’, jadi terpulang pada anda untuk menerimanya. Tetapi kalau ada laporan, kita akan melihat perkara ini,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan Program Diploma Eksekutif Sains Siasatan Sesi 2015/2016 di Maktab PDRM, hari ini.

Dalam pada itu, Khalid berkata, sekiranya kedua-dua pihak, iaitu penganjur Bersih 5 dan NGO diterajui Jamal ingin mengadakan perhimpunan pada bulan depan, mereka perlu memohon kebenaran berhimpun terlebih dahulu.

“Mereka harus memohon permit berhimpun dahulu. Jika tidak, mereka akan diambil tindakan dan polis tidak akan memilih mana-mana pihak dalam mengambil tindakan,” katanya.

Jamal yang ditahan pada Rabu lepas, dibebaskan dari Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan jaminan polis petang semalam.

Sebaik dibebaskan, pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu berkata, gerakan Baju Merah akan mengadakan perhimpunan besar-besaran menentang Bersih 5 yang dijangka diadakan pada November di Dataran Merdeka.

Pada majlis itu, seramai 45 pegawai kanan polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang terdiri daripada 34 lelaki serta 11 wanita berjaya menamatkan kursus mereka selama 3 semester, mulai Mac tahun lepas.

Jamal tidak puas hati ditahan polis, tetapi reda

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.