
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ia penting bagi memberi sokongan dan bimbingan kepada murid terbabit dalam usaha memulihkan semangat mereka akibat insiden itu.
“Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Tindakan mencampak ular bagi menguji keberanian murid adalah tidak patut dan ia akan menyeksa mental serta fizikal pelajar terbabit…mereka akan menjadi trauma,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Rakaman video lebih 2 minit tersebar di media sosial dan mendapat kritikan netizen, apabila beberapa murid di dalam kolam berselut menangis dan menjerit selepas ular dicampak ke dalamnya.
Rakaman itu juga menunjukkan beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyiram air dan menyergah pelajar sepanjang modul itu berlangsung.
Seramai 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.
Rohani berkata, beliau secara peribadi sudah menemui Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan supaya tindakan sewajarnya diambil berhubung perkara itu.
“Beliau (Kamalanathan) memberi jaminan perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin dan tidak akan berulang,” katanya.
Pautan: