PPIM sedia bantu peminjam ‘Ah Long’ bermasalah

PPIM sedia bantu peminjam ‘Ah Long’ bermasalah

Ketua aktivis PPIM berkata pihaknya akan memantau pembayaran balik pinjaman setiap bulan oleh peminjam kepada pemberi pinjaman wang supaya tidak ditipu.

Datuk-Nadzim-Johan
KUALA LUMPUR:
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta peminjam yang mempunyai masalah dengan syarikat pinjaman wang atau dengan ‘Ah Long’ supaya mendapatkan bantuan pihaknya bagi memantau pembayaran balik pinjaman.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata pihaknya akan memberikan bantuan dengan memantau pembayaran balik pinjaman setiap bulan oleh peminjam kepada pemberi pinjaman wang untuk mengelakkan mereka daripada dieksploitasi dan ditipu.

“Pinjaman wang ini boleh mengenakan faedah paling tinggi sebanyak 18% saja… kalau dibiarkan, mereka akan mengenakan caj sesuka hati mereka kerana ada dalam kalangan mereka memang suka menipu orang,” katanya.

Nadzim berkata pihaknya menerima lebih 10,000 aduan berhubung masalah mangsa yang berhutang dengan Ah Long sejak 4 tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil tindakan tegas dengan penubuhan pasukan khas untuk mengawasi lebih 4,000 syarikat pinjaman wang yang terdapat di seluruh negara daripada mengeksploitasi peminjam wang.

Beliau turut menasihati individu yang terdesak untuk membuat pinjaman dengan ‘Ah Long’ supaya menyimpan rekod dan membawa saksi ketika melakukan setiap transaksi dan tandatangan supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

“Ini kerana ada kes melibatkan akaun milik peminjam yang ditahan pemberi pinjaman digunakan untuk transaksi pemindahan pengubahan wang haram tanpa pengetahuan pemilik akaun sehingga didakwa di mahkamah,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.