Mangsa air pasang besar di Selangor meningkat 482 mangsa

Mangsa air pasang besar di Selangor meningkat 482 mangsa

Peningkatan itu membabitkan penduduk Kampung Batu 5, Kapar, Klang, yang sebahagian besarnya ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali.

Mangsa air pasang besar di Selangor
SHAH ALAM: Jumlah penduduk yang dipindahkan ekoran fenomena air pasang besar di Selangor, meningkat kepada 482 orang pagi ini berbanding 459 malam tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Bencana Selangor, peningkatan itu membabitkan penduduk Kampung Batu 5, Kapar, Klang, yang sebahagian besarnya ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali.

Katanya, sehingga 9 pagi tadi jumlah mangsa yang berada di pusat itu sebanyak 152 orang berbanding 133 malam tadi.

Selain Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali di Kapar, terdapat 4 lagi pusat pemindahan dibuka di negeri ini ekoran fenomena tersebut iaitu Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda juga di Kapar yang menempatkan 236 orang, Dewan Seri Sekinchan (2), Dewan Sungai Air Tawar (63) dan Dewan Parit Baru (29) di Sabak Bernam.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor Ahmad Afandi Mohamad dalam satu kenyataan berkata ban Sungai Keramat yang pecah di Kampung Batu 5 akibat air pasang besar awal pagi tadi akan dibaiki serta merta dan kawasan itu kini dalam pemantauan agensi keselamatan.

Di daerah Sabak Bernam pula, Afandi berkata kawasan seperti Sungai Lang, Pantai Batu 23 dan Kampung Nelayan Bagan Nakhoda Omar turut dinaiki air akibat fenomena itu, namun keadaannya terkawal dan air mulai surut.

“Terdapat juga limpahan air laut di pesisiran Pantai Kelanang, Kuala Langat namun keadaan masih selamat,” katanya.

Sementara itu, di Perak kawasan yang terjejas ekoran fenomena sama kekal 5 iaitu Bagan Ikan, Bagan Sungai Burung, Bagan Sungai Tiang, Bagan Lipas dan Bagan Pasir Laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Bagan Datoh Datuk Hamzah Hussin berkata limpahan air pasang di kawasan berkenaan berlaku kira-kira 5 pagi sebelum surut sejam kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Hilir Perak Zulhisham Ahmad Shukori memaklumkan 5 kawasan di Teluk Intan dinaiki air awal pagi tadi iaitu Kampung Batu 7 1/2 Jalan Maharajalela, Kampung Seri Jaya Batu 6, Lorong Kalat Batak Rabit, Jeti Pak Ali Sungai Jelawat dan Kampung Esso.

Katanya, air mula memasuki kawasan dan halaman rumah penduduk sekitar 4 pagi, namun tiada pemindahan dilakukan kerana air surut sepenuhnya pada 7.30 pagi.

Di Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis, keadaan di kawasan itu dalam keadaan terkawal biarpun air pasang mula naik secara berperingkat mulai 2.30 pagi.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Manjung, M Sasitharan berkata paras air di kawasan berkenaan mencatatkan 3.3 meter dari paras laut setakat 5.45 pagi.

“Air mula surut pada 6 pagi. Cuaca juga dalam keadaan baik dan tiada banjir berlaku di kawasan ini,” katanya.

Di Pulau Pinang, hujan lebat lebih 2 jam awal pagi ini serta fenomena air pasang besar menyebabkan Kampung Manis, Perai dan kawasan Telok Ipil, Nibong Tebal di Butterworth dinaiki air 0.3 meter.

Paras bacaan air pasang di kampung itu pada 2 pagi tadi ialah 3.1 meter, yang paling tinggi sepanjang fenomena itu, bagaimanapun tiada penduduk dipindahkan kerana air kembali surut kira-kira 2 jam kemudian.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang Sabri Abdul Mulok berkata secara keseluruhan, fenomena air pasang besar di negeri ini tidak serius.

Kawasan Kampung Manis dinaiki air kerana kampung itu berada pada paras rendah berbanding paras laut iaitu 2.6 meter sedangkan air pasang boleh mencecah sehingga 3 meter.

“Kami mencadangkan kepada kerajaan negeri agar penduduk di kawasan itu dipindahkan ke kawasan berhampiran atau perumahan kos sederhana di situ,” katanya selepas meninjau keadaan di Kampung Manis hari ini.

Sementara itu, JPS negeri menjalankan kerja mendalamkan sungai dan menstabilkan tebing sungai di beberapa lokasi di negeri ini bagi mengatasi masalah banjir.

“Antara projek yang sedang dijalankan ialah naik taraf saliran dan pembinaan rumah pam di Permatang Tinggi 1 dan 2 di Bukit Mertajam dan Pangkalan Machang dekat Sungai Dua,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.