
Beliau sudi bertemu kartunis itu di mahkamah.
“Dia (Zunar) kata dia akan cabar saya di mahkamah. Jadi, biar dia cabar saya lah,” katanya dalam satu pesanan kepada FMT.
Beliau menjawab kenyataan Zunar yang mahu memfailkan saman terhadap Khalid kerana mengenakan larangan keluar negara ke atasnya.
Awal hari ini, Zunar, atau nama sebenar Zulkiflee Anwar Ulhaque, berkata dia dihalang daripada menaiki penerbangan jam 3 petang ke Singapura, di mana dia dijadualkan untuk menyertai suatu forum.
Menurut Zunar, anggota imigresen menerima arahan daripada Khalid, yang menyenarai hitamkan Zunar daripada keluar negara atas alasan tertentu.
Zunar akan mendapatkan nasihat daripada peguam untuk langkah seterusnya, memandangkan dia mempunyai aktiviti lain di luar negara di masa akan datang.
Zunar terkenal dengan kartun yang mempersenda kerajaan Barisan Nasional dan institusi negara yang didakwa rasuah.
Dia berdepan 9 pendakwaan, yang antara lain kerana mendakwa pensabitan liwat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dicemari campurtangan kerajaan dan berat-sebelah.