Jualan kondom kalis gawat

Jualan kondom kalis gawat

Syarikat pengeluar kondom Karex Berhad berkata kegawatan ekonomi tidak memperlahankan aktiviti seks manusia kerana kondom sama penting seperti ubat gigi.

Goh-Miah-Kiat_karex_600
KLANG:
Syarikat pengeluar kondom terbesar dunia, Karex Berhad berkata ekonomi dunia yang sedang perlahan tidak menghalang penjualan kondom syarikat itu untuk terus berkembang.

Ketua pegawai eksekutifnya, Goh Miah Kiat berkata sejak beroperasi pada 1988, syarikat itu kini menjadi pengedar utama kondom di 220 negara di seluruh dunia.

“Ekonomi perlahan bukan faktor menghalang manusia melakukan hubungan seks. Kondom merupakan keperluan penting, sama seperti ubat gigi.

“Walaupun keadaan gawat, manusia tetap mencari ubat gigi. Ia satu keperluan pada zaman ini,” katanya dalam temu bual bersama FMT di kilang Karex di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Untung kerana peningkatan HIV

Bercerita sejarah syarikat, Miah Kiat berkata datuknya Huang Chiat membuka kilang pertama di Pontian, Johor yang dikenali sebagai Banrub.

“Syarikat mencatat keuntungan besar selepas kes HIV menular di benua Asia dan Afrika. Kami diberi peluang bekerjasama dengan pelbagai NGO dan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengedar kondom ke negara yang memiliki populasi tinggi jangkitan HIV.

“Karex juga mencatat keuntungan ketika China memperkenalkan polisi 1 keluarga 1 anak. Hampir 50% kondom Karex dibeli agensi antarabangsa untuk diedarkan secara percuma kepada golongan miskin,” katanya.

Goh berkata populasi penduduk dunia ketika ini 7.46 bilion dan 50% daripada berusia di bawah 23 tahun.

“Kumpulan umur ini merupakan sasaran pengguna kondom. Namun jangan salah faham, kami bukan menggalakkan seks bebas di kalangan remaja. Pencegahan awal untuk menghindari penyakit HIV dan Sexually Transmitted Infection (STI) keutamaan kami,” katanya.

“Laporan PBB mengenai STI menunjukkan hampir 500 juta penduduk berdepan penyakit itu. Jumlah ini mungkin meningkat dari masa ke semasa.

“Melakukan hubungan seks adalah lumrah, maka masyarakat tidak perlu malu untuk bercerita mengenainya dan kedai untuk mendapatkan kondom,” katanya.

Perluas empayar

Karex kini memiliki 4 kilang di Senai, Pontian, Pelabuhan Klang dan Thailand dengan 2,600 pekerja.

Miah Kiat berkata Karex turut membuka pejabat di Boston, Amerika Syarikat dan United Kingdom dan kini menghasilkan 5 bilion kondom setiap tahun.

Terbaru, Karex menampilkan kondom berperisa durian yang dijual untuk pasaran Malaysia saja dengan pengeluaran hanya 200,000 pek saja sehingga akhir Oktober.

Karex juga mempelbagaikan produk termasuk menghasilkan kondom pelbagai warna, perisa dan pelincir bagi pasaran Eropah termasuklah siri “Glow In The Dark” iaitu bercahaya di dalam gelap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.