Hukuman mati: Menunggu Malaysia mencabut tali gantungnya

Hukuman mati: Menunggu Malaysia mencabut tali gantungnya

Setakat ini, 140 negara tidak lagi melaksanakan hukuman mati mandatori, tetapi Malaysia bukanlah salah satu daripadanya.

Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR: Shahrul Izani Suparman kini ditempatkan dalam sel asing beberapa meter dari kamar hukuman gantung di Penjara Sungai Buloh.

Shahrul, 32, sedang menunggu gilirannya, pada masa sama menanti keputusan rayuannya pada Lembaga Pengampunan, Peguam Negara, Raja serta Sultan Selangor yang difailkan lebih 2 tahun lalu.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung ke atasnya selepas disabitkan mengedar 622 gram ganja pada 25 September 2003, ketika usianya 19 tahun.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman itu sebagaimana termaktub di dalam Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Malaysia antara 58 negara yang masih melaksanakan hukuman mati mandatori. Sebanyak 102 negara memansuhkan sepenuhnya, 32 negara tidak melaksanakannya walau masih ada dalam undang-undang, dan 6 lagi hanya mengekalkannya untuk kes seperti jenayah perang.

Menurut laporan Amnesty International 2015/2016, statistik rasmi menyatakan 33 hukuman gantung dilaksanakan antara 1998 hingga 2015.

“Sejarah sedang ditulis dan Malaysia berada di bahagian yang salah dalam sejarah,” kata Pengarah Eksekutif Amnesty Malaysia, Shamini Darshni dalam wawancara bersama FMT.

Beliau berkata, di saat banyak negara lain sama ada memansuhkan atau tidak lagi mengamalkannya seperti Brunei, Malaysia masih lagi bersama sekumpulan kecil negara lain yang kerap melaksanakan hukuman gantung mandatori.

Katanya, beliau berharap kerajaan dapat menterjemahkan komitmen memansuhkan hukuman mati mandatori, seperti yang dinyatakan sebelum ini, kepada tindakan yang lebih bermakna.

“Kita sudah bercakap tentang hal ini sejak 2012, ketika Datuk Seri Nazri Aziz menjadi menteri yang menjaga undang-undang.

“Jun lalu, (pengganti Nazri) Nancy Shukri dalam satu persidangan di Oslo, Norway berkata Malaysia sedang menimbangkannya. Apabila Datuk Seri Azalina Othman Said mengambil alih, kita melihat Malaysia secara serius menimbang untuk memansuhkannya bagi kesalahan berkaitan dadah,” katanya merujuk menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Tetapi tidak pasti sama ada ia akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang. Kita harap kerajaan berhenti bercakap tentangnya dan bertindak,” katanya sambil berkata pungutan suara 2012 menunjukkan rakyat Malaysia sendiri tidak menyokong hukuman itu.

Rakyat tidak sokong

Berucap pada Kongres Menentang Hukuman Mati Sedunia di Norway Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata kajian tentang perkara itu sudah selesai dan terdapat tanda positif ke arah pindaan undang-undang hukuman mati.

Pungutan suara itu dibuat Pejabat Peguam Negara dan diketuai pakar kriminologi Universiti Oxford, Roger Hood, melibatkan 1,535 warga Malaysia.

Kajian itu mendapati sokongan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan bunuh, dadah dan jenayah senjata api turun dengan peratusan besar selepas responden menilai senario jenayah, seperti keadaan dan motif di sebaliknya.

Bagi jenayah bunuh, daripada 56% yang menyokong hukuman mati secara teori, hanya 14% memilih hukuman tersebut bagi setiap senario diberikan.

Namun dalam sistem kehakiman Malaysia, mitigasi (permohonan hukuman diringankan, antaranya dengan menimbang punca jenayah dilakukan) tidak dibenarkan bagi kesalahan melibatkan hukuman mati mandatori.

Seperti apa berlaku kepada Shahrul Izani, beliau secara “mandatori” dijatuhkan hukuman mati walaupun konsisten menegaskan tidak tahu-menahu tentang kewujudan kanabis dalam motosikal kawan yang ditungganginya ketika ditahan.

Pelbagai faktor dan budi bicara hakim

Peguam hak asasi manusia Syahredzan Johan berkata budi bicara harus dikembalikan kepada hakim dalam menentukan hukuman kepada pesalah kes tersebut.

“Kita harus sedar satu hukuman tidak semestinya sesuai dikenakan untuk semua keadaan, ada pelbagai faktor mitigasi yang perlu diambil kira. Misalnya adakah wajar hukuman mati terhadap pengedar dadah tanpa menimbang faktor seperti kesempitan ekonomi?,” katanya.

Beliau menyokong hukuman tersebut dimansuhkan kerana menyifatkannya sebagai “muktamad” dan menafikan peluang kedua kepada pesalah.

Shamini mengakui masih ramai yang menyokong hukuman mati, dan menyeru sistem keadilan dilihat lebih sebagai pemulihan berbanding hukuman semata-mata.

“Apakah yang ingin dicapai dengan hukuman mati, balas dendam? Ia tidak selesaikan apa-apa. Sistem kita sepatutnya bertujuan menjadikan pesalah kembali sebagai warga yang baik. Ia bukan hanya hukuman dan pada masa sama tidak menyelesaikan apa-apa,” katanya.

Kenyataan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto pada 10 Oktober lalu memetik statistik PBB serta laporan indeks jenayah menunjukkan antara negara memiliki kadar jenayah tertinggi turut menggunakan hukuman mati sebagai kaedah mencegah jenayah, seperti Nigeria dan Sudan Selatan.

“Perlu diakui tiada jalan mudah bagi membanteras jenayah, lebih senang untuk menjatuhkan hukuman.

“Tetapi dengan segala kajian dan tinjauan, sudah tiba masa untuk memansuhkan hukuman mati mandatori,” kata Shamini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.