
Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, terdapat kaedah lebih baik untuk memastikan Internet selamat bagi kanak-kanak, seperti kawal selia berdasarkan had umur.
“Roblox … secara natijahnya selamat untuk kanak-kanak, cuma mungkin ada unsur dalam talian yang perlu kita lihat.
“(Contohnya) kita lihat bagaimana nak mengetatkan penggunaan permainan dalam talian untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak guna akaun ibu bapa pula (untuk mendaftar).
“Tetapi janganlah sampai kita nak haramkan permainan dalam talian,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Syahredzan mengulas pengumuman kerajaan yang sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan Roblox susulan insiden seorang budak lelaki berusia sembilan tahun mengelar leher adiknya berusia enam tahun berkait permainan itu.
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati si abang mungkin bertindak menyerang adiknya selepas permainan Robloxnya diganggu sehingga menyebabkan dia kehilangan semua mata terkumpul.
Sebagai respons, Fahmi mengakui insiden serangan itu mungkin berpunca daripada kegagalan si abang mengawal kemarahan, bukannya disebabkan oleh elemen dalam permainan itu sendiri.
Justeru, beliau menggesa ibu bapa agar sentiasa memantau tingkah laku anak-anak mereka di alam maya dan membimbing mereka menguruskan emosi bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Kerajaan boleh mengenakan lesen atau mengharamkan permainan dalam talian, namun ibu bapa turut berperanan pantau jejak digital anak-anak mereka.
“Gajet bukanlah pengasuh. Ibu bapa diminta luangkan masa untuk melihat apa yang ditonton atau dimainkan oleh anak-anak di Internet,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan tidak melaksanakan pendekatan ‘negara polis’ dalam usaha menangani penyebaran maklumat tidak benar dalam talian.
Katanya, kerajaan kekal komited mempertahankan kebebasan bersuara, namun akan mengambil tindakan terhadap penyebaran maklumat palsu berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Dalam usaha menangani maklumat tidak benar atau berita palsu, adalah lebih baik kita mengambil pendekatan lebih konservatif iaitu ‘bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah’ atas setiap aduan, tetapi kita bukanlah negara polis.
“Kita harap para pengguna Internet dapat semak kesahihan maklumat yang diterima sebelum menyebarkannya,” katanya.