Cuepacs persoal mengapa jawatan kosong pesara tidak diisi

Cuepacs persoal mengapa jawatan kosong pesara tidak diisi

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata 20,000 hingga 25,000 penjawat awam bersara setiap tahun

azih-muda-cuepacs-1
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mempersoalkan mengapa jawatan kosong yang ditinggalkan kakitangan sektor awam yang bersara tidak diisi.

Presidennya Datuk Azih Muda membangkitkan perkara itu ketika mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang berkata 20,000 hingga 25,000 penjawat awam bersara setiap tahun.

“Kita boleh terima kalau kerajaan tidak mahu lanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 tahun kepada 62 tahun.

“Tetapi kita tidak boleh terima jika kerajaan kata 20,000 hingga 25,000 penjawat awam bersara setiap tahun, tetapi banyak jawatan kosong tidak diisi.

“Sepatutnya jawatan kosong itu diisi, jika tidak akan menyebabkan beban tugas menjadi berat,” katanya kepada FMT.

Awal hari ini Ali dilaporkan berkata kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam ketika ini. Menurut beliau, melanjutkan umur persaraan akan menyebabkan tiada penjawat awam bersara dalam tempoh 2 tahun.

Keadaan itu akan menyebabkan kekosongan jawatan akibat persaraan penjawat tidak akan berlaku dalam tempoh itu.

“Ceupacs minta kerajaan betul-betul ikhlaslah; beri ruang untuk pelajar-pelajar baru lepasan universiti.

” Isi kekosongan itu kalau betul nak ambil pekerja baharu (lepasan universiti),” kata Azih.

Bernama sebelum ini melaporkan jumlah keseluruhan penjawat awam setakat ini adalah 1.16 juta orang.

Cuepacs mencadangkan kerajaan agar melanjutkan umur persaraan penjawat awam sepertimana di Singapura, Eropah dan Amerika Syarikat yang menetapkan umur persaraan pada 65 tahun.

Umur persaraan penjawat awam di negara ini dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001, 56 tahun kepada 58 tahun (2008) dan 58 tahun kepada 60 tahun pada 2012.

“Pada masa akan datang kerajaan perlu kaji balik. Mungkin lanjut umur persaraan sektor awam sesuai untuk masa akan datang,” kata Azih.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.