Cukai minuman bergula boleh didik rakyat hargai kesihatan, kata pertubuhan doktor

Cukai minuman bergula boleh didik rakyat hargai kesihatan, kata pertubuhan doktor

Perdim meminta kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai cadangan mengenakan cukai minimum ke atas minuman bergula bagi mengelakkan rakyat salah tafsir ia tindakan menarik balik subsidi.

ahmad
MELAKA:
Cadangan kerajaan mengenakan cukai minimum ke atas minuman bergula diimport atau diproses di kilang tempatan adalah langkah praktikal bagi mengawal pengambilan gula di kalangan rakyat.

Yang Dipertua Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, pertubuhan itu percaya cadangan berkenaan adalah langkah jangka panjang berterusan bagi menghindari penyakit akibat pengambilan gula berlebihan, seperti kencing manis.

“Langkah itu juga penting bagi mendidik pengguna untuk menghargai kesihatan mereka melalui amalan pemakanan sihat dengan mengehadkan pengambilan diet bergula.

“Namun, kita memohon kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai cadangan tersebut supaya ia tidak disalah tafsir rakyat sebagai tindakan menarik balik subsidi dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Jun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaiam berkata, cadangan mengenakan cukai terhadap minuman bergula masih dibincang di peringkat kementerian dan sebarang keputusan bertujuan memberi kesan baik untuk kesihatan rakyat.

Dr Ahmad Shukri berkata, kawalan terhadap pengeluaran produk bergula adalah penting, memandangkan impaknya besar kepada kesihatan rakyat.

“Lambakan pelbagai produk yang mengandungi perisa gula tambahan dalam produk makanan dan bahan tambahan tidak diperlukan tubuh didapati amat mudah diperoleh di pasaran, di samping harga rendah.

“Ini menggalakkan lagi pengguna mengambil produk bergula, seperti minuman berkalori tinggi dalam tin, kotak atau botol dengan sewenang-wenangnya hingga menyebabkan ketagihan, seterusnya mengakibatkan tahap kesihatan mereka terjejas,” katanya.

Beliau berkata, produk bergula jika diambil secara berlebihan daripada keperluan tenaga harian boleh mengundang pelbagai penyakit kronik, terutamanya Sindrom Metabolik yang menjadi punca obesiti, kencing manis dan hiperkolesterolemia serta darah tinggi.

Katanya, Perdim memandang serius isu berkaitan produk bergula kerana ia merupakan satu daripada matlamat pertubuhan itu dalam usaha menggiatkan usaha ke arah mensejahterakan kesihatan masyarakat di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.