Hanya pendidikan mampu hentikan perkahwinan kanak-kanak

Hanya pendidikan mampu hentikan perkahwinan kanak-kanak

Wakil Unicef berkata bancian pada 2010 menunjukkan terdapat 82,000 kanak-kanak perempuan dan 73,000 kanak-kanak lelaki di Malaysia yang berkahwin.

Unicef
KUALA LUMPUR:
Malaysia mempunyai kadar perkahwinan kanak-kanak yang tinggi, menurut wakil Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh.

Bercakap pada forum awam di sini hari ini, Clark-Hattingh menegaskan pada bancian 2010, terdapat 82,000 kanak-kanak perempuan dan 73,000 kanak-kanak lelaki yang berkahwin.

Namun begitu, beliau berkata angka itu tidak tepat dan bilangannya mungkin lebih tinggi kerana tidak semua perkahwinan didaftarkan.

“Ini merupakan masalah yang besar dan mungkin lebih-lebih lagi di negara lain. Namun, walaupun mempunyai satu kes perkahwinan kanak-kanak sahaja juga adalah salah,” katanya.

Beliau berkata, salah satu masalah kesan daripada perkahwinan kanak-kanak adalah ia menafikan hak mereka terhadap pendidikan terutamanya di kalangan kanak-kanak perempuan, yang akhirnya keciciran sekolah.

Ini katanya, mengakibatkan masalah kemiskinan berterusan, menyebabkan kitaran perkahwinan kanak-kanak terus berlaku disebabkan kurangnya pendidikan.

Beliau mendakwa kebanyakan wanita yang berkahwin pada usia kanak-kanak berakhir dengan anak-anak mereka melakukan perkara yang sama.

“Pendidikan adalah kunci bagi memastikan perkahwinan kanak-kanak tidak lagi berlaku,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil untuk menamatkan situasi ini adalah: memperkasakan kanak-kanak perempuan dengan maklumat, khidmat sokongan dan kemahiran; melibatkan organisasi keagamaan bagi peningkatan tahap kesedaran berhubungan kemudaratan perkahwinan kanak-kanak kepada ibu bapa, lelaki dan kanak-kanak lelaki; meningkatkan akses kepada perkhidmatan persekolahan dan kesihatan formal yang berkualiti; meningkatkan tahap kesedaran kesihatan seksual dan reproduktif; pemberian wang tunai tanpa atau bersyarat kepada keluarga miskin sasaran; menetapkan dan menguatkuasakan had umur untuk berkahwin; dan sokongan kanak-kanak perempuan yang sedang hamil atau mereka yang sudah berkahwin dengan pilihan untuk persekolahan, perkhidmatan kaunseling kemahiran mata pencarian dan kesihatan reproduktif.

Seorang lagi penceramah, pengasas bersama Kelab Warisan Wibawa, Nik Elin Zurina Nik Abd Rashid berkata antara faktor yang menyumbang kepada perkahwinan kanak-kanak adalah budaya, tekanan masyarakat di mana golongan muda ditekan untuk berkahwin bagi mengelakkan seks sebelum kahwin, larangan agama dalam pergaulan, cinta, ingin bebas daripada ibu bapa, dan kurang pendidikan seks.

Beliau berkata, kanak-kanak ini akhirnya berada dalam keadaan tertekan selepas berkahwin kerana tidak memahami apa yang diperlukan dalam sesebuah perkahwinan.

“Mereka tidak tahu apa yang bakal mereka tempuhi,” katanya. “Mereka tidak tahu tanggungjawab yang datang dengan perkahwinan dan sebahagian mereka tidak tahu apa itu seks dan akhirnya hamil sebelum mereka menyedarinya.”

Pensyarah di Institut Perguruan Tinggi Ilmu Al-Quran di Jakarta, Dr Nur Rofiah berkata, budaya dan tradisi Indonesia memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada perkahwinan kanak-kanak.

“Wanita di Indonesia percaya jika mereka menolak satu-satu lamaran, tiada lagi lamaran yang datang,” katanya.

Beliau juga berkata terdapat satu tradisi di Indonesia di mana lelaki menculik gadis-gadis muda, membawa pulang ke rumah dan melamarnya.

“Jika anda menolak lamaran itu maka anda dilihat sebagai tidak suci sama ada anda melakukan atau tidak hubungan seks dengan lelaki itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.