
Bercakap kepada FMT, Zaid berkata, terdapat kesan yang “benar-benar penting” daripada Deklarasi Rakyat iaitu suara rakyat mempunyai signifikan dan tidak boleh diabaikan.
“Ia (Deklarasi Rakyat) menunjukkan rakyat bersatu tentang apa yang mereka mahu. Ia menunjukkan ada orang di negara ini seperti Dr Mahathir yang sanggup membawa mesej itu, dan ia menunjukkan ada orang yang sanggup berdiri dengan isu-isu tertentu tetapi terdapat pihak di negara ini yang tidak mahu menyokongnya dan apa yang boleh kita lakukan?” katanya.
Beliau mendakwa negara ini dibahagikan kepada pihak mahukan perubahan dan orang-orang yang lebih sukakan status quo tetapi perbezaan pendapat adalah satu perkara yang baik.
“Kami melihat ada orang yang ingin perubahan dan ada yang tidak mahukannya. Saya fikir ia sangat penting kerana bolehkah anda boleh bayangkan jika hanya ada satu suara? Hanya satu sistem? Orang ramai boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu dan ia akan membawa bencana.
“Sekurang-kurangnya sekarang, semua pihak faham yang kita tidak dapat mengawal kuasa lain di negara ini.”
Beliau memuji bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang jujur dengan kata-katanya dengan menyerahkan semua tandatangan penyokong deklarasi kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Ia bukan satu pembaziran. Dr Mahathir telus dengan rakyat negara ini dan berjanji akan menyerahkannya kepada Agong tetapi tidak boleh mengawal apa yang Agong putuskan.
“Beliau sudah cuba yang terbaik dan itulah yang perlu kita lihat,” katanya.
Dua hari lalu, Dr Mahathir mengakui gagal meyakinkan Yang di-Pertuan Agong berhubung Deklarasi Rakyat semasa menghadap baru-baru ini.
Bercakap pada sidang akhbar, kali pertama selepas mesyuarat di Istana Anak Bukit di Kedah bulan lalu, beliau menyampaikan kepada Agong berhubung permintaan yang dibuat Deklarasi Rakyat dengan membawa lebih 1.4 juta tandatangan tetapi “tidak memperoleh jawapan yang positif.”
Kempen Deklarasi Rakyat yang dilancarkan Dr Mahathir dan 40 yang lain pada Mac lepas, menggesa rakyat Malaysia menyertai usaha menjatuhkan Najib dengan cara aman.
Dokumen yang disediakan dalam talian dan bercetak, juga memohon pembaharuan institusi dan pemansuhan undang-undang yang “melanggar hak-hak asasi manusia”.
Dokumen, dan gerakan yang dimulakan itu, ditolak sebahagian besar pemimpin Barisan Nasional dan dianggap sebagai “usaha sia-sia” untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.