Rozita Orang Asli Kristian, bukan Melayu murtad, jelas Ahli Parlimen

Rozita Orang Asli Kristian, bukan Melayu murtad, jelas Ahli Parlimen

Pesuruhjaya PAS Terengganu sudah menyunting muatnaik yang mencetuskan gempar dalam kalangan warga Facebook dan memohon maaf.

Fuziah Salleh
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat palsu menuduh wanita bernama Rozita Othman yang dikuburkan di Perkuburan Kristian Taman Gelora, Kuantan seorang murtad.

Fuziah Salleh dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan mendiang seorang Orang Asli Kristian daripada suku Jakun dari Kampung Soi.

“Ini disahkan dari daftar kematian beliau. Maklumat ini juga disahkan oleh sepupu beliau di dalam Facebook,” kata Fuziah menerusi status di Facebooknya, hari ini.

“Selidik dahulu maklumat yang kita terima. Takut-takut kita juga tergolong di kalangan orang yang membawa fitnah. Allah maha memberi petunjuk dan maha mengetahui,” tambahnya.

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahri Mamat memuat naik gambar di Facebook dengan status yang mendakwa seorang wanita Melayu murtad bersemadi di perkuburan itu.

Tambahnya ia merupakan bala besar untuk umat Islam di Tanah Melayu.

Semakan FMT di Facebook Saiful mendapati status berkenaan sudah disunting dan pihaknya turut memohon maaf.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.