
Suami kepada anggota Misi Women’s Boat To Gaza (WBG) Dr Fauziah Mohd Hassan yang kini ditahan di Pelabuhan Ashdod berharap pengakhiran yang baik bagi semua anggota misi yang berada di atas kapal Zaytona-Oliva.
Semalam, kapal berkenaan yang membawa anggota misi WBG ke Gaza ditawan tentera Israel ketika berada kira-kira 42 batu nautika dari pantai Gaza.
“Saya dan anak-anak sudah menjangka pengakhiran begini. Tetapi kita perlu fikirkan penyertaan13 wanita yang berada dalam misi ini belayar membawa misi memberi bantuan perubatan dan makanan kepada penduduk Gaza boleh diteruskan.
“Mereka tidak patut berdepan dengan masalah sebegini dan boleh masuk secara aman ke sana. Saya kagum dengan semangat keamanan mereka yang tidak kira bangsa, agama dan negara yang menyertai dalam misi ini. Kita harus buktikan sekatan pihak Israel adalah tidak sah sekali gus mencabuli hak asasi kemanusiaan,” katanya.
Seramai 13 wanita berada di atas kapal Zaytona-Oliva antaranya Madelaine Anne Habib (Australia), Synne Sofie Reksten (Norway), Emma Charlota Ringqvist (Sweden), Laureate Mairead MacGuire (Ireland), Marama Davidson (New Zealand), Jeannette Escanilla (Sweden), Mary Ann Wright (USA), Samira Douaifia (Algeria), Leign Ann Naidoo (Afrika Selatan), Sandra Barrilaro (Sepanyol), Mina Harballou (England), Hoda Rakhme (Rusia) dan Dr Fauziah.
Dalam masa yang sama, anak Dr Fauziah, Shamil Mohd Alauddin berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan ibunya.
“Sejak kecil, mak sering mengikuti misi bantuan kemanusiaan termasuklah ke Kosovo, Afghanistan dan beberapa negara zon perang. Saya percaya kuasa Allah lebih hebat daripada kuasa tentera Israel. Saya percaya dengan qada dan qadar. Allah boleh tarik nyawa kita di mana-mana sahaja. Teruskan berdoa untuk mak,” katanya.
Dr Fauziah aktif dalam aktiviti kemanusiaan dan penglibatannya bermula sebagai bendahari Persatuan Medical Relief Malaysia (Mercy Malaysia) dan mengambil bahagian dalam misi Kosovo, Maluku Indonesia, Afghanistan, Acheh, Pakistan dan Gaza.