Larangan keluar negara: Tony Pua mahu rayuan disegerakan

Larangan keluar negara: Tony Pua mahu rayuan disegerakan

Kes menyentuh hak asasi warganegara dan Mahkamah Persekutuan perlu memberi panduan kepada Mahkamah Tinggi dan imigresen, kata peguam.

tony-pua_travel-ban_6001
PUTRAJAYA:
Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua, yang dilarang keluar negara kerana mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, akan menulis kepada Mahkamah Rayuan untuk menyegerakan rayuannya.

Peguam Tony, Gobind Singh Deo berkata beliau akan memfailkan sijil perakuan segera (certificate of urgency) kerana kes ini berkepentingan awam.

“Kami akan memohon untuk mendapatkan tarikh pendengaran yang awal,” kata Gobind kepada FMT berhubung perkembangan semasa kes Tony.

Pada 27 Julai lalu, Tony gagal dalam usahanya untuk mencabar keputusan imigresen yang melarang beliau keluar negara.

Hakim Hanipah Farikullah memutuskan larangan itu mengikut Perlembagaan kerana ketua pengarah diberi kuasa untuk menyekat seseorang daripada keluar negara.

Beliau berkata ketua pengarah menerima surat daripada polis untuk menghalang Tony daripada meninggalkan Malaysia kerana disiasat berkenaan aktiviti yang didakwa menjejaskan demokrasi berparlimen.

Sejurus keputusan mahkamah, Tony memfailkan notis rayuan tetapi proses rayuan tertangguh kerana hakim belum menyediakan alasan kehakiman.

Pekeliling mahkamah menyatakan hakim perlu menyediakan alasan kehakiman dalam masa 8 minggu selpas rayuan difailkan.

Gobind berkata perkara ini akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan kerana ada 2 keputusan bercanggah dibuat sebelum ini oleh mahkamah agung itu.

“Kes ini menyentuh hak asasi warganegara dan Mahkamah Persekutuan perlu memberi panduan kepada Mahkamah Tinggi dan imigresen,” katanya.

Pada Ogos lalu, Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah memfailkan saman untuk mencabar larangan keluar negara yang dikenakan ke atasnya.

Kemudian pada Mei, Ketua Pengarah Imigresen ketika itu, Datuk Sakib Kusmi menjelaskan kerajaan mempunyai budi bicara untuk memberi, menangguh atau membatalkan pasport antarabangsa rakyat Malaysia kerana dokumen perjalanan dikeluarkan di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata pemegang pasport boleh dihalang daripada keluar negara untuk tempoh tiga tahun bagi melindungi imej negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.