
Penyedia perkhidmatan pembawa data neutral, AIMS Group (AIMS) berkata biarpun dalam persekitaran simpanan serta teknologi pendinginan pusat data serba canggih, jumlah penggunaan tenaga di pusat itu sebaliknya merangkumi kira-kira 2% daripada keseluruhan pelepasan gas rumah hijau dan menyamai tahap industri penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AIMS, Mohammad Azman berkata masih ramai yang tidak menyedari keburukan pelbagai aplikasi yang menjadi punca lonjakan penggunaan tenaga di pusat data.
“Setiap perbuatan seperti menekan butang ‘Like’ Facebook, memuat turun gambar atau catatan (terbaharu) di Instagram, bermain aplikasi Pokemon Go atau sebarang aktiviti internet berkaitan sebenarnya memerlukan penggunaan data secara besar-besaran yang perlu disimpan.
“Maklumat statistik masa kini misalnya menunjukkan pusat-pusat data global menggunakan3% bekalan tenaga elektrik dunia.
“Kewujudan ‘internet of things’ (komunikasi antara peranti elektronik), inovasi serta pelbagai aplikasi secara berleluasa, akan hanya memacu penggunaan tenaga dengan ketara dalam masa terdekat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Azman, sejak 3 tahun lepas, AIMS menyaksikan peningkatan penggunaan tenaga melebihi 20% di pusat-pusat datanya.
Malah katanya, industri pusat data tempatan turut berdepan masalah untuk mengatasi krisis penggunaan data yang menelan kos tinggi selain infrastruktur tenaga yang tidak cekap serta lapuk.
Beliau berkata, kalangan pemaju aplikasi pula lebih menumpukan usaha penghasilan aplikasi serba pantas serta interaktif namun kurang menitikberatkan ciri-ciri penggunaan tenaga yang rendah.
Tegasnya, biarpun industri pusat data Malaysia terus menggesa pihak Tenaga Nasional Bhd melakukan semakan semula tarif klasifikasi elektrik di pusat-pusat data, usaha sedemikian sebaliknya hanya boleh dilakukan kalangan industri serta pihak berkaitan dalam ekosistem berkenaan.
Azman berkata, pihak industri juga perlu meneliti sektor perkakasan, tenaga boleh baharu dan kaedah pendinginan.
“Bagi AIMS, kami akan meneruskan pelaburan untuk pusat-pusat data dalam tempoh 2 tahun akan datang bagi menjadikannya lebih cekap tenaga menerusi teknologi pendinginan baharu serta sistem pembekalan tenaga,” katanya.
AIMS turut bekerjasama erat dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dalam usaha pendidikan semula pelanggan terbabit, termasuk mengadakan forum dengan penggiat utama pelbagai industri berhubung perkembangan di pusat data.