
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mencadangkan kenaikan pencen daripada pendapatan semasa sekitar RM150 hingga RM350 kepada kadar minimum RM800 sebulan.
“Mereka terpaksa bersara di usia muda kerana dasar penswastaan dengan tempoh perkhidmatan yang singkat dan gaji rendah. Bekas penjawat awam ini juga salah satu sebab program penswastaan kerajaan dapat dijayakan.
“Mereka menyertai GLC sebagai perintis dan patut menerima faedah sama. Namun kebanyakannya hanya menerima pencen sekitar RM150 hingga RM350 sebulan, jauh berbeza dengan kadar pencen minima sektor awam iaitu RM820,” kata Presiden UNI-MLC Mohamed Shafie BP Mammal dalam satu kenyataan.
Dasar penswastaan diperkenalkan oleh kerajaan pada era 1990-an melibatkan perkhidmatan seperti elektrik dan telekomunikasi.
Justeru, beliau berharap Perdana Menteri dapat menimbangkan perkara itu dalam Belanjawan 2017 yang bakal dibentangkan.
UNI-MLC merupakan gabungan lebih 90 kesatuan sekerja sektor awam dan swasta, termasuk GLC, dan melibatkan kira-kira 350,000 pekerja pelbagai sektor.