
Pengurus Besar BMLR Kamal Hussein berkata air kolam di taman tema air itu dikeringkan sejak 3 hari lalu setelah mendapat arahan daripada Jabatan Kesihatan Perak.
“Jabatan Kesihatan Perak sedang memantau operasi di taman tema itu termasuk kaedah penggunaan pengklorinan bagi mengelak jangkitan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan agar pihak pengurusan taman tema itu menggunakan klorinator bagi menggantikan kaedah pengklorinan secara manual untuk mencegah jangkitan Rotavirus dan AGE.
Taman tema air itu ditutup selama 14 hari sejak Khamis lepas bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan selepas beberapa kes AGE dan Rotavirus dikesan dipercayai kerana mandi di pusat rekreasi tersebut.
Setakat ini, 46 kes AGE direkodkan masing-masing 17 di Kedah dengan 3 daripadanya positif Rotavirus, Pulau Pinang (10 AGE, 6 Rotavirus), manakala Perak 19 kes AGE.