
Bercakap kepada FMT, Azlina berkata sudah menjadi sifat manusia untuk malas berfikir dan tidak mencabar sesuatu yang dianggap betul.
Beliau mengulas kes ahli perniagaan dan motivasi Azizan Osman, pengasas Kumpulan Syarikat Richworks, selepas ketulenan ijazah kedoktoran miliknya dinafikan awal minggu ini.
Tiga universiti tempatan nafi menganugerahkan ijazah kedoktoran dalam bidang keusahawanan, pengurusan perniagaan dan falsafah kepada Azizan, seperti yang didakwa di laman web Richworks.
Azlina berkata orang ramai termakan imej Azizan dan mengalami sesuatu yang dikenali sebagai ‘schema’, yang mengukuh mengikut semakin masa berlaku dengan bukti-bukti kejayaan. “Masyarakat secara umumnya tidak terfikir untuk mempersoalkan dia dan kelayakannya.”
Bagaimanapun, peguam Simon Sabapathy memberitahu FMT memberikan maklumat palsu mengenai latar belakang pendidikan adalah langkah yang berisiko dan mungkin satu kesalahan jenayah sekiranya si penipu menerima manfaat daripada penipuan itu.
Orang ramai boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka membeli buku atau membayar untuk program dengan kepercayaan penulis atau pengendali acara seorang pakar. Bagaimanapun, tindakan undang-undang seperti itu lazimnya ditangani secara kes demi kes.
Awal minggu ini Universiti Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur nafi menganugerahkan PhD kepada Azizan.
Di laman rasmi Twitternya, Azizan menggambarkan dirinya sebagai seorang usahawan, ahli strategi pemasaran, penulis, jurulatih dan selebriti televisyen. Beliau dikenali dengan kursus motivasi berkenaan memulakan perniagaan, antaranya turut disertai beberapa selebriti tempatan.
Antara kursusnya adalah sesi “Millionaire Marketing Mastery” yang berlangsung selama tiga hari dengan bayaran RM2,997.