
Berteraskan falsafah itu, 6 pekerja yang mengalami pelbagai cabaran fizikal seperti masalah pembelajaran, cacat anggota dan Sindrom Down membuktikan mereka mampu melakukan kerja seperti insan lain.
Kedai mereka yang dinamakan OKU Dobi Sdn Bhd di Zon A, tingkat 2. tempat letak kereta pusat beli-belah Mid Valley sememangnya berpotensi untuk bersaing dengan kedai dobi lain.
OKU Sdn Bhd ditubuhkan pada 25 Oktober 2010 dan beroperasi selepas mendapat kerjasama Kumpulan AmBank, WorldwidePreneur dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Keunikan dobi ini terserlah apabila golongan OKU berkenaan akan melakukan tugas biasa seorang pekerja di kedai dobi bermula di kaunter, mengasingkan, mencuci, mengering, menggosok dan melipat pakaian.
Pengurus kedai itu, Syazani Sazali berkata OKU Dobi dibuka setiap hari bermula 10 pagi sehingga 8 malam dan menawarkan servis yang sama dengan kedai dobi di luar sana dengan tawaran harga yang berpatutan.
Katanya, mereka menyediakan 2 syif jadual kerja dan cuti untuk pekerjanya.
Cabaran
Sememangnya mengendalikan kedai dobi berdepan cabaran yang tinggi apabila terpaksa memastikan pengurusan kedai memperoleh keuntungan untuk membayar gaji kepada pekerjanya.
Syazani berkata ada juga pelanggan yang mengambil kesempatan daripada kekurangan pekerja OKU dengan menipu daripada segi pembayaran.
“Kadang-kadang ada pelanggan ambil kesempatan untuk menipu kami dengan memberi bayaran yang kurang daripada harga dikenakan.
“Misalnya, harga RM124 tetapi bila mereka tahu ada pekerja yang tidak pandai mengira, mereka akan mengambil kesempatan dengan memberi hanya RM100.
“Ini menyebabkan kadang-kala pendapatan kami tidak setimpal dengan kos perbelanjaan,” katanya kepada FMT.
Jadi platform OKU Berdikari
Operasi dobi ini dilaksanakan 6 rakan kongsi dan dibahagiakan kepada 2 kumpulan.
Menyedari persaingan dengan dobi lain semakin mencabar, Syazani tidak mudah putus asa dan percaya dengan kemampuan diri sendiri.
“Memetik kata-kata arwah ayah saya yang dipegang sehingga kini ‘kerja perlu amanah dan bertanggungjawab’.
“Saya sering berkata kepada pelanggan saya, percaya dengan kami, kami akan memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.
Mengulas mengenai pendapatan harian, Syazani berkata walaupun purata pendapatan sekitar RM2,700- RM3,500, tetapi yakin pengalaman yang diperoleh dalam menceburi bidang keusahawanan ini lebih bernilai.
“Saya akan menggunakan pengalaman ini sebaik mungkin dan membantu golongan OKU di luar sana yang ingin bekerja.
“Mungkin dengan keberanian saya dalam menceburi bidang keusahawanan ini mampu tarik mereka yang senasib saya untuk turut berani bekerja. Memang sukar jika kita tidak berani, namun percaya OKU juga kini mampu berjaya,” katanya.
Syazani berkata beliau berhasrat membuka kedai Dobi OKU lain bagi membantu golongan senasibnya.
“Saya juga menggunakan Facebook sebagai tempat mempromosikan kedai OKU dobi ini,” katanya.