
Ang Kean Koo yang dipetik Oriental Daily kecewa dengan sikap sukarelawan Malaysia berbanding luar negara yang ditunjukkan ketika usaha mencari sukarelawan bagi membantu Sukan SEA ke-29 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 19 Ogos hingga 31 Ogos tahun depan, giat dijalankan di Facebook.
“Ramai sukarelawan dari luar negara mendaftarkan diri, mereka membeli tiket penerbangan ke Malaysia dan mencari tempat tinggal sendiri, tetapi sukarelawan di sini hanya tanya jika ada baju dan kasut bola diberikan. Sukarelawan sebenar perlu datang dari dalam (hati), persepsi ini perlu diubah,” katanya kepada akhbar itu.
Beliau berkata, pihak penganjur tidak patut memberi baju, kasut, minuman dan makanan percuma untuk menarik penyertaan sukarelawan, sebaliknya mereka perlu menawarkan markah tambahan untuk aktiviti ko-kurikulum bagi menarik perhatian generasi muda menjadi sukarelawan.
Katanya, setiap kali beliau membawa pasukan menyertai kejohanan bola keranjang berkerusi roda dan acara sukan kelainan upaya yang lain, venue di luar negara akan dipenuhi penonton, tetapi keadaan sebaliknya berlaku di Malaysia, di mana hanya sejumlah kecil penonton yang hadir.
Bukan itu sahaja, Ang berkata, media tempatan juga tidak memainkan peranan mereka kerana tiada media cetak yang membuat liputan pada temasya Paralimpik di Rio de Janeiro, baru-baru ini.
“Saya hanya nampak sebuah stesen televisyen, langsung tiada media cetak. Ketika Olimpik diadakan, berpuluh media membuat liputan,” katanya yang turut mencadangkan pihak berkuasa membina lebih banyak kemudahan latihan yang lengkap bagi memudahkan atlet paralimpik membuat persiapan.
“Dari segi lokasi latihan, hanya sekitar Kuala Lumpur yang ada (pusat latihan). (Ia akan menyukarkan atlet paralimpik) seperti Abdul Latif Romly dari Perlis dan Siti Noor Radiah Ismail dari Johor. Jika semua tempat ada (pusat latihan dan kemudahan) akan lebih lengkap.”