
Edgar Matobato, 57, dalam pendengaran Senat pada 15 September lalu yang menyiasat serbuan anti jenayah dilancarkan Duterte berkata, ketika menganggotai “skuad maut”, dia pernah membunuh lebih 50 orang ketika Duterte menjadi datuk bandar Davao.
Sejak memberi keterangan itu, Matobato kini hidup di bawah perlindungan seorang senator yang turut dikawal bekas sekumpulan anggota tentera.
“Saya sudah penat melarikan diri. Saya memohon maaf kepada semua orang yang saya pernah aniaya dan mereka yang dibunuh oleh saya,” kata Matobato kepada Reuters di sebuah rumah perlindungan di Manila.
Duterte menepis dakwaan Matobato dan menyifatkan ia sebagai pembohongan.
Motabota kelihatan tenang apabila bercakap mengenai kehidupannya sebagai pembunuh dan punca dia membuat pengakuan dalam inkuiri Senat.
“Saya rasa bersalah. Saya mahu memperbetulkan kesilapan dan mahu keadilan buat mereka,” katanya merujuk kepada mangsa dibunuhnya.
Katanya, satu lagi sebab dia memberi keterangan itu kerana bekas rakan sekerjanya cuba memerangkapnya untuk pembunuhan seorang ahli perniagaan.
“Terpulang kepada Tuhan atas apa yang berlaku terhadapnya sekarang.
“Saya tidak kisah jika saya mati sekarang, saya terima nasib saya…Cuma saya tidak mahu dipenjarakan. Lebih baik mereka bunuh, gantung saya untuk semua dosa saya,” katanya.
Duterte yang dipilih sebagai presiden Filipina pada pilihan raya Mei lalu, berikrar akan menghapuskan dadah dan rasuah di negara yang mempunyai 100 juta populasi itu.
Beliau dilantik ke jawatan itu pada 30 Jun lalu dan lebih daripada 3,100 orang dibunuh sejak itu, kebanyakan mereka ialah suspek penagih dan pengedar dadah.
Duterte berulang kali menafikan pembabitannya dalam pembunuhan itu, tidak kira sebagai datuk bandar atau presiden.
Matobato memberitahu inkuiri Senat yang Duterte pernah berkejar ke tempat kejadian, selepas “orangnya” bertempur dengan seorang musuh dan Duterte menembak mati individu terbabit dengan senapang.
Matobato berkata, dia tidak boleh membaca atau menulis kerana tidak pernah mendapat pendidikan.
Katanya, untuk bertahan lamanya, dia bagaikan pemburu yang menyasarkan penjenayah kecil dan penagih dadah.
“Sepanjang hidup saya, saya seperti anjing yang dihantar ke sana sini dan diarah melakukan sesuatu. Saya taat kepada mereka, tiada soalan ditanya.
“Satu-satunya rayuan saya ialah jangan ganggu keluarga saya,” katanya bergenang air mata.
“Ia amat sukar. Saya tidak boleh pergi ke mana pun. Saya hanya tinggal di sini sepanjang hari,” katanya yang kecewa kerana terpaksa hidup dalam persembunyian.