Reka bentuk rumah beri kesan pada hubungan perkauman, kata ahli akademik

Reka bentuk rumah beri kesan pada hubungan perkauman, kata ahli akademik

Tajuddin berkata, ciri-ciri bangunan di Semenanjung Malaysia yang seharusnya mewakili 3 budaya utama negara, Melayu, Cina dan India.

Professor-Tajuddin-Rasdi-1
KAJANG: Reka bentuk dan perancangan projek pembangunan perumahan yang substandard memburukkan lagi hubungan antara kaum di negara ini, kata ahli akademik.

Ia mungkin terjadi kerana pihak perancangan tempatan yang hanya terdedah kepada satu kebudayaan dan tidak sedar sensitiviti budaya lain, kata Profesor Tajuddin Rasdi.

Menurut pensyarah seni bina Universiti UCSI itu, sesebuah kawasan perumahan harus menampung semua jenis masyarakat, bermula dari segi reka bentuk pembangunan kepada aktiviti yang disediakan untuk masyarakatnya.

Membandingkan dengan warga kota zaman sekarang, beliau akui sudah tiada lagi pergaulan sesama jiran tetangga.

“Mereka pergi kerja dan menutup pintu mereka selepas pulang dari kerja. Mereka tidak bergaul dengan etnik lain.

“Bagi menggalak pergaulan, fungsi pusat komuniti perlu diubah daripada fungsi semasanya yang hanya digunakan untuk majlis rumah terbuka perayaan dan majlis perkahwinan.

“Misalnya, pihak berkuasa tempatan boleh menggaji 2 pekerja di setiap pusat komuniti bagi mengumpul data penduduk, maklumat seperti umur, bilangan lelaki, wanita, dan juga pecahan kaum dan agama.

“Menggunakan maklumat ini, pelbagai aktiviti boleh dirangka kepada penduduknya,” katanya kepada FMT.

Pengarang buku “Architecture and Nation Building – Multiculturalism and Democracy” juga berkata, aktiviti yang relevan akan menggalakkan rakyat pelbagai kaum mengambil bahagian.

Selain itu, Tajuddin berkata ciri-ciri bangunan di Semenanjung Malaysia seharusnya mewakili 3 budaya utama negara, Melayu, Cina dan India.

“Majlis tempatan harus memastikan 3 elemen digabung dalam reka bentuk, bukan hanya menumpu kepada satu budaya tertentu sahaja,” kata beliau yang akui wujud kekurangan bangunan mengikut keperluan masyarakat pelbagai agama di kawasan perumahan.

“Pastikan ada masjid, kuil dan gereja. Jangan pula terlalu bermotif institusional dengan membina masjid besar Ottoman, kuil atau gereja besar Chartres Katedral.

“Ia harus bercampur sebaiknya dengan kawasan perumahan,” katanya.

Tajuddin juga menekankan kelemahan tertentu dalam reka bentuk projek pembangunan kediaman.

Pertama sekali, tetingkap yang saling menghadap di hadapan dan belakang rumah di kawasan perumahan rumah teres.

“Aroma memasak atau menggoreng makanan tertentu dalam kalangan keluarga Melayu dan Cina boleh membawa tekanan kepada hubungan yang baik,” katanya yang mencadangkan agar cerobong ditambah sebagai sebahagian kemudahan untuk menghilangkan bau tersebut.

Tingkap di bilik tidur juga boleh mengundang isu di mana penghuni terpaksa memasang langsir bagi mengekalkan privasi.

Tajuddin berkata semua ini boleh diperbaiki dengan membina tingkap untuk pencahayaan dan pengudaraan di siling dan tingkap yang lebih kecil di bawah untuk tujuan pemandangan.

Reka bentuk kawasan serambi juga perlu diambil perhatian di mana adat kaum Cina yang membakar colok selepas sembahyang dengan menempatkan cerobong logam untuk meresap asap.

Katanya, semua elemen itu penting dalam mereka bentuk rumah dan hartanah bagi mengurangkan ketegangan hubungan kaum yang dilihat berlaku dalam kebanyakan kawasan perumahan di Malaysia.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.