Samsuri bimbang keadaan hubungan antara kaum di Malaysia

Samsuri bimbang keadaan hubungan antara kaum di Malaysia

Pengerusi PN itu menyifatkan keadaan hubungan antara kaum di negara ini kini berada di persimpangan.

multiracial merdeka
Pengerusi PN Samsuri Mokhtar mengingatkan ahli politik bahawa mereka memimpin seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya orang Melayu atau mana-mana komuniti tertentu sahaja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Samsuri Mokhtar menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan hubungan antara kaum di negara ini yang disifatkan beliau kini berada di persimpangan.

Samsuri yang juga menteri besar Terengganu turut mengingatkan bahawa masyarakat majmuk juga adalah merupakan satu nikmat daripada tuhan.

“Hari ini hubungan antara kaum di negara kita seolah-olah berada di persimpangan yang membimbangkan dan ada saatnya dilihat semakin renggang dan menjarak dalam diam.

“Kita mesti yakin masyarakat majmuk yang kita warisi ini adalah merupakan satu nikmat tuhan yang tiada taranya,” katanya di Facebook.

Namun, kata Samsuri lagi, tanpa pengurusan yang bijak, ia boleh berubah menjadi malapetaka, sebagaimana yang telah meranapkan keharmonian di negara-negara luar termasuk negara yang menjadi juara demokrasi dan hak asasi manusia.

Tambahnya, semua ahli politik juga perlu sedar bahawa mereka memimpin seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya orang Melayu atau mana-mana komuniti tertentu sahaja.

“Kita dipilih untuk menjadi pemimpin semua rakyat, bukan untuk orang Melayu sahaja, bahkan untuk semua kaum, Cina, Tamil, Kadazan, Iban, Bidayuh dan sebagainya,” katanya.

Samsuri, yang juga naib presiden PAS berkata perkara itu antara yang dibangkitkannya dalam ucapan di sidang DUN Terengganu baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.